Thursday, June 5, 2014

Istiadat Akad Nikah Tuanku Nazrin Muizzuddin Shah







Mas Kahwin 250gram emas tulin dalam bentuk lima kepingan emas yang dilorek dalam tulisan rumi dan jawi dengan perkataan "Majlis Perkahwinan Diraja Perak 17 Mei 2007".

05 Jun 2014, Khamis :-


Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah menamatkan zaman bujang baginda pada  tahun 2007 ketika berusia 50 tahun manakala  suri baginda, Tuanku Zara Salim pula ketika itu berusia 34 tahun. Istiadat akad nikah diadakan di Balai Istiadat, Istana  Iskandariah dihadiri kira-kira 300 orang tetamu pada hari Khamis, 17 Mei 2007. 

Majlis bermula sekitar jam 10:30hr dimulai dengan keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Bainun binti Mohd Ali ke Balai Istiadat. Jejawat membawa masuk hantaran Raja Nazrin Shah untuk Zara Salim Davidson sebanyak sembilan bunga pahar (dulang) berserta mas kahwin 250 gram emas tulen dan sebentuk cincin bertatahkan berlian.

Rombongan Zara Salim Davidson yang diwakili oleh Dato' Tunku Hamdy Tunku Ahmad Tajuddin membawa masuk hantaran balasan berjumlah sebelas bunga pahar (dulang)  beserta sebentuk cincin untuk bakal suami tersayang. Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Dato' Seri Wan Fathir Wan Hussain kemudiannya mengadap Tuanku Azlan dan Tuanku Bainun untuk memulakan Istiadat Akad Nikah.

Dengan sekali lafaz sahaja Raja Nazrin Shah telah bergelar suami kepada Zara Salim Davidson. Akad nikah disempurnakan oleh Mufti Negeri Perak, Dato'  Seri Dr Harussani Zakaria manakala adinda Raja Nazrin Shah, Raja Dato’ Seri Ashman Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan adinda ipar baginda, Dato' Sri Mohd Salleh Ismail sebagai saksi pernikahan. Selepas Istiadat Akad Nikah Mufti Kerajaan Negeri Perak membacakan doa kesyukuran diikuti bacaan selawat Nabi oleh kumpulan Haqqani Maulud Ensemble.

Zara Salim Davidson merupakan anakanda kepada pasangan William Davidson yang merupakan seorang peguam terkenal dan Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabudin adalah dari kerabat diraja Kedah. Zara merupakan cicit kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-24 manakala nendanya Syed Omar Syed Abdullah Shahabudin merupakan Menteri Besar Kedah ke-3. Isteri Syed Omar adalah Tunku Aminah binti Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang juga merupakan adik beradik kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sehari selepas Istiadat Akad Nikah ini diadakan pula Istiadat Perlantikan dan Pengisytiharaan Gelaran di Istana Iskandariah. Dalam istiadat ini Zara Salim Davidson diberikan  gelaran Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim.


Sumber :- Wikipedia / Biofoto Perkahwinan Diraja / Ratu - Perkahwinan Diraja Perak / Maarum Bugis Syah

No comments: