Thursday, May 29, 2014

Istiadat Perlantikan dan Pengisytiharan Sultan Perak Yang Baharu Hari ini


Click gambar untuk imej yang lebih besar



Dalam Kenangan
Istiadat Perlantikan dan Pengisytiharan Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak ke-34 pada 03 Februari 1984  selepas kemangkatan Almarhum Sultan Idris Shah pada 31 Januari 1984. Istiadat berlangsung sebelum jenazah Almarhum Sultan Idris Shah di makamkan.


29 May 2014, Khamis :-


Istiadat Perlantikan dan Pengisytiharan Sultan Perak yang baru berikutan kemangkatan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah pada 28 May 2014 akan diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah pada hari ini 29 May 2014 sebelum Jenazah Almarhum dibawa ke Makam Diraja untuk Istiadat Permakaman.  Satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak telah diadakan lewat petang semalam bagi menentukan pengganti Almarhum Sultan Azlan Shah. Mesyurat dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin ini diadakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Perlantikan dan Pengisytiharan Sultan Perak yang baru adalah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Fasal VI (I) dan (2) seperti di bawah:

“Fasal VI (1) Manakala mangkat kita dan mangkat seseorang daripada ganti-ganti kita yang gemilang,  maka jenazah kita dan jenazah-jenazah ganti-ganti kita yang gemilang hendaklah di simpan dengan tiada dimakamkan mengikut sebagaimana adat Melayu sehingga seorang ganti telah dipilih dan dilantik,  dan inilah kita mengikrar dan memerintahkan bahawa hendaklah Raja Bendahara atau Orang Kaya Bendahara apabila gelaran Raja Bendahara itu dimahsuhkan menjalankan kuasa-kuasa dan menyempurnakan tanggungan-tanggungan Raja Pemerintah itu di antara kemangkatan seorang Raja Pemerintah  dengan lantikan seorang Raja Pemerintah baharu.

 (2)  Manakala berlaku kemangkatan yang demikian itu dan jikalau kita atau mana-mana daripada ganti-ganti kita melucutkan milik-milik Raja,  hak-hak,  kuasa-kuasa dan kebebasan-kebebasan bagi Raja,  Raja Pemerintah itu hendaklah dipilih dan dilantik oleh Dewan Negara seperti yang disyaratkan di bawah ini,  dan hendaklah apabila dilantik dinyatakan seperti itu mengangkat dan menanda tangani apa-apa sumpah yang harus ditetapkan oleh Dewan Negara itu dari satu masa ke satu masa dengan syarat bahawa sumpah yang demikian itu hendaklah mengandungi perkataan-perkataan yang akan mengikat perasaan Raja Pemerintah itu dan kemudian daripada itu Raja Pemerintah itu hendaklah ditabalkan mengikut adat Melayu.

Tetapi hendaklah disyaratkan pula bahawa dalam timbangan-timbangannya berkenaan dengan pilihan seorang Raja Pemerintah itu,  hendaklah Dewan Negara itu memberi timbangan-timbangannya yang pertama kepada sesiapa Bakal Sultan mengikut susunan yang tersebut di bawah ini,  yang keduanya kepada sesiapa Raja yang Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya dan kemudian daripada itu hendaklah dijalankan seperti yang disyaratkan dalam Fasal VII, VIII dan IX dalam Bahagian ini.”   

Pemilihan Raja Pemerintah yang baharu itu hendaklah di laksanakan dengan secepat mungkin.  Ini adalah mengikut Peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal LXIII seperti berikut :

“Fasal LXIII.  Maka Dewan Negara itu tidaklah boleh dipanggil bermesyuarat melainkan dengan Titah Perintah Raja pemerintah itu.

Dengan syarat bahawa bila pekerjaan Dewan Negara itu berkenaan dengan lantikan atau pemberhentian seorang Raja Pemerintah atau lantikan seorang Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja,  atau lain-lain pekerjaan yang bersangkut paut dengan tubuh badan Raja Pemerintah itu, atau apa-apa pekerjaan lain yang pada mesyuaratnya disifatkan berfaedah yang Raja Pemerintah itu tidak bercampur, maka hendaklah Raja Bendahara atau Orang Kaya Bendahara apabila gelaran Raja Bendahara itu dimahsuhkan memanggil Dewan Negara itu bermesyuarat dengan syarat bahawa Dewan Negara itu hendaklah bermesyuarat di Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah.

Buat masa ini pewaris tahta negeri Perak Darul Ridzuan adalah seperti berikut :-



  1. Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang juga merupakan Pemangku Raja Perak.
  2. Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar bin Almarhum  Raja Muda Musa.
  3. Yang Teramat Mulia Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
  4. Yang Teramat Mulia Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan Raja Ahmad Nazim Azlan Shah bin Almarhum Raja Ashman Shah.
Siapapun diantara pewaris tahta yang akan dipilih oleh Dewan Negara Perak sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan  yang baru diharap baginda dapat meneruskan kesinambungan Pemerintahan Almarhum Tuanku Azlan Shah yang amat dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia khasnya dan Perak amnya.  

Al-Fatihah ...........




Sumber :- Bernama / Sembang Kuala / Biografi Bergambar Sultan Azlzn Shah / Maharum Bugis Syah

No comments: