Saturday, March 8, 2014

Ulangtahun Ke-11 Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Sultan Selangor Ke- IX


Duli Yang  Maha Mulia Sultan Selangor ke-IX
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj

08 Mac 2014, Sabtu :-

Sembah ucap tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan sempena ulangtahun ke-11 Pertabalan dan Kemahkotaan baginda sebagai Sultan Selangor ke-IX pada 08 Mac 2003.  Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyatakan bahawa Sultan yang baru hendaklah ditabalkan menjadi Sultan dalam tempoh empat tahun dari tarikh pengesahan dan proklamasi Baginda sebagai Sultan atau dengan persetujuan Dewan di-Raja dalam tempoh sedemekian dan tarikh Baginda mencapai umur genap 21 tahun. Sekiranya telah tamat tempoh yang dinyatakan dan Sultan belum ditabalkan maka Baginda disifatkan sebagai turun tahta dan melepaskan segala hak-hak Baginda sebagai Sultan. Secara ringkasnya Syah ingin berkongsi dengan anda semua mengenai Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan baginda.


Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj yang ketika itu merupakan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-11 pada 21 November 2001 di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur akibat masalah jantung, Dewan di-Raja Selangor telah bersidang pada malam 21 November 2001 jam 20:30hrs untuk menentukan perlantikan Sultan Selangor yang baru. Mesyuarat dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Selangor telah mengesahkan perlantikan DYTM Tengku Idris Shah yang ketika itu merupakan Raja Muda Selangor sebagai Sultan Selangor yang baru dan baginda telah berkenaan menerima perlantikan tersebut  dengan menandatangani watikah perlantikan.

Istiadat Pemasyhuran :- 

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Idris Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor pada 22 November 2001 pada jam 15:00hrs dengan penuh adat istiadat diraja negeri Selangor di Istana Alam Shah, Klang, Selangor. Dalam istiadat ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor atas persetujuan Dewan di-Raja dengan rasminya memasyhurkan baginda sebagai Sultan Selangor ke-XI dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah.  Dalam istiadat ini, DYMM Tuanku Sharafuddin telah mengucup keris pusaka turun temurun Kesultanan Selangor yang dikenali sebagai Keris Panjang Beruk Berayun sebagai lambang Raja Berdaulat dan kemudiannya diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh para hadirin.  DYMM Tuanku kemudiannya menyentuh keranda Almarhum Paduka Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebagai simbolik tanda perkenan dan restu agar Istiadat Permakaman boleh disempurnakan di Makam Diraja.

Istiadat Letak Kerja :

Istiadat Letak Kerja sempena Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Sultan Selangor ke-IX bermula pada hari Khamis 06 Mac 2003 bersamaan 03 Muharam 1424 bermula jam 08:30hrs di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang. Mengikut adat istiadat diraja, sebelum sesuatu istiadat penting dilaksanakan Istiadat Letak Kerja perlu dizahirkan sebagai tanda permuafakatan diantara semua pihak yang terlibat terutamanya diantara pihak Istana dan Kerajaan Negeri.



Istidat Bersiram Tabal :

Istiadat Bersiram Tabal diadakan pada hari Jumaat, 07 Mac 2003 bersamaan 04 Muharam 1424 di Padang Mahkota, Istana Alam Shah.  Istiadat bermula seawal jam 15:30hrs.

Istiadat Ini merupakan istiadat penting dalam proses Adat Istiadat Pertabalan dan Kemahkotan Sultan Selangor. Bersiram membawa maksud mandi. Ianya merupakan simbolik konsep kesucian dan kebersihan sebagaimana yang dituntut dalam Islam. DYMM Tuanku akan bersemayam diatas pentas khas setinggi tujuh tingkat yang dinamakan Panca Persada.  Air yang digunakan untuk Istiadat Bersiram Tabal ini terdiri daripada air yang diambil dari sumber mata air di sembilan buah daerah dalam negeri Selangor diletakkan didalam tiga buah tempayan dan dicampurkan dengan tujuh jenih bunga dan dinamakan Air Siram Taubat, Air Siram Syukur dan Air Siram Selamat. Ketiga-tiga air berkenaan telah dibacakan doa oleh Sahibus Fadhilah Mu'alim Indera Wangsa. Selain daripada itu, peralatan/bahan yang digunakan dalam istiadat ini adalah kemeyan wangi, setangi, keris dan lain-lain.

Nobat juga digunakan dalam istiadat ini.  Diantara lagu yang dimainkan adalah lagu "Bersiram Tabal" dan "Raja Berangkat". Mereka yang terlibat dalam istiadat ini adalah YAM Tengku Panglima Diraja Selangor, YDM Engku Maha Kurnia Bijaya Diraja Selangor, Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor,  Sahibus Fadhilah Mu'alim Indera Wangsa, Al-Fadhil Imam Paduka Tuan dan Bentara. Bersiram Tabal dilakukan oleh tiga orang iaitu Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor, Sahibus Fadhilah Mu'alim Indera Wangsa dan seorang Bentra diatas Panca Persada.



Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan :

Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke-IX berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang, Selangor pada hari Sabtu, 08  Mac 2003 bersamaan 05 Muharam 1424. Ketibaan dif-dif dan para jemputan bermula seawal jam 09:00hrs.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin memeriksa barisan Kawalan Kehormtan Utama di perkarangan Istana Alam Shah sebelum berangkat masuk ke Balairung Seri untuk Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan.



Keberangkatan masuk DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin ke Balairung Seri Istana Alam Shah selepas melakukan Pemeriksaan Barisan Kawalan Kehormtan Utama.

Lafaz Perisytiharan Pertabal dibacakan oleh YAM Tengku Panglima Diraja Selangor selaku Ketua Adat Istiadat Diraja. Lafaznya seperti berikut :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

Ampun Tuanku, Sebagaimana yang telah diperuntukkan dibawah Fasal 1 Perkara 9 (A) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, 1959 berbunyi :-

Sultan hendaklah ditabalkan mengikut adat istiadat Negeri dalam masa empat tahun dari tarikh pengesahan dan proklamasi Baginda sebagai Sultan atau, dengan persetujuan Dewan di-Raja, dalam tempoh sedemekian dan tarikh Baginda mencapai umur genap 21 tahun. 

Oleh yang demekian, sebagai menyempurnakan peruntukan tersebut maka Istiadat Pertabalan dizahirkan pada pagi yang bersejarah ini.



Alat-Alat kebesaran Diraja kemudiannya dibawa masuk ke Balairung Seri seperti Al-Quranul-Karim, Keris Terampang Gabus, Mahkota Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Lafaz ikrar Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diikuti paluan Nobat dengan lagu "Istiadat Mengadap". Yang Amat Mulia Tengku Tengku Indera Setia Selangor kemudiannya memulakan Istiadat Menunjung Duli diikuti paluan Nobat dengan lagu "Menjunjung Duli". Setelah Istiadat Menjunjung Duli selesai, Alat-Alat Kebesaran Diraja diletakkan diatas meja khas.



Yang Dimuliakan Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja, Penghulu Adat Istiadat Diraja Selangor kemudiannya mempersilakan YAM Tengku Panglima Besar Selangor menyembahkan Al-Quranul-Karim kepada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin. YAM Tengku Besar Putera Selangor kemudiannya menambil tempat untuk menyembahkan Keris Terampang Gabus. Sebelum itu Engku Seri Perdana mengadap mengambil Keris Gading Diraja daripada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin untuk diletakkan diatas meja khas.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin mengucup Al-Quranul-Karim  setela menerimanya daripada YAM Tengku Panglima Besar Selangor.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin mengucup Keris Terampang Gabus setelah menerimanya daripada YAM Tengku Besar Putera Selangor.

YDM Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja mempersilakan YAM Tengku Bendahara Selangor dan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor untuk menyempurnakan Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan. Kedua-duanya mengadap DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin diikuti YDM Tengku Seri Paduka Shahbandar. YDM Tengku Seri Paduka Shahbandar kemudiannya mengambil tengkolok DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin dan meletakkannya diatas meja khas. YAM Tengku Bendahara Selangor dan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor kemudiannya mengadap DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin.



Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor kemudianya mengambil mahkota pertabalan daripada YAM Tengku Bendahara Selangor untuk memahkotakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diikut paluan Nobat dengan lagu "Nobat Tabal". YDM Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja selaku Penghulu Adat Istiadat Diraja Selangor kemudannya berseru "Daulat Tuanku" diikuti tiupan Nafiri dan disambut oleh para hadirin dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali. Lagu kebangsaan Negeri Selangor dimainkan diikuti tembakan Meriam sebanyak 21 das.

YAM Tengku Panglima Selangor kemudiannya melafazkaan Bingkisan Doa Restu :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

"Patik sekelian waris dan kerabat memutuskan untuk menzahirkan Duli Yang Maha Mulialah di atas Tahta Kerajaan Selangor ini dan daerahnya.  Tuankulah yang berdaulat.

YDH Dato' Seri Maharaja Diraja kemudiannya mengambil tempat untuk melafaz dan mengingatkan pesanan Pepatah Orang-Orang Tua :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

Bermula bahawa bapa kepada Raja itu
adalah Syariat Allah dan RasylNya Sallallahu Alaihi Wasallam
dan Ibu Raja itu
adalah adat dan kanun.
Manakala Saudara bagi Raja pula
aalah sekalian Menteri Besar dan menteri-menteri kecilnya.

Adapun yang dikatakan anak bagi Raja itu pula,
adalah sekelian rakyat jelata dan bala tenteranya.
Seorang Raja itu tiada baginya bapa, ibu atau anak
melainkan baginya sekelian rakyat jelata.

Seorang Raja itu tidak mengutamakan kepentingan yang lain, 
melainkan kepentingan rakyatnya juga.

Maka ketahuailah,
bahawa sekiranya seseorang Raja itu tidak mentaati Syariat Allah  dan RasulNya
Memegang adat dan kanun,
tidak sempurnalah 
Pemerintahan dan kerajaannya.

Ampun Tuanku.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin kemudiannya melafazkan Lafaz Ikrar :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

"Beta dengan sesunguhnya berikrar dan dengan sebenarnya mengaku akan menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Negeri Selangor Darul Ehsan dan segala daerah takluknya dengan mengikut sebagaimana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan undang-undang yang telah dan akan disah dan dimasyhurkan dari masa ke semasa.

Dan seterusnya Beta dengan sesunguhnya berikrar dan dengan sebenarnya mengaku akan memelihara pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan memelihara keamanan di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan dan segala daerah takluknya.

Dan lagi Beta sesunguhnya berikrar dan dengan sebenarnya mengaku akan menunaikan kewajipan-kewajipan Beta, sebagai Sultan Selangor, dengan penuh iltizam, jujur dan dengan segala daya upaya Beta demi kesejahteraan rakyat jelata yang kita kasihi.

Kepada Allah Beta Berserah.



Setelah selesai bacaan Ikrar, YAB Menteri Besar Selangor mengambil tempat untuk menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan bagi pihak seluruh rakyat. Setelah selesai ucapan YAB Menteri Besar Selangor,  Istiadat Merenjis Air Mawar dimulakan dengan didahului oleh YAM Tengku Aris Temenggong , YAM Tengku Bendahara Selangor dan YMM Tengku Ampuan Bariah. Setelah selesai Istiadat Merenjis, Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor diapit oleh Sahibus Fadhilah Mualim Indera Wangsa dan Al-Fadhil Imam Paduka Tuan mengambil tempat untuk membaca doa menandakan Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan DYMM Sultan Selangor ke-IX telah disempunakan.

Setelah bacaan doa selesai, YAM Tengku Panglima Besar Selangor mengadap untuk mengambil Al-Quranul-Karim daripada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin diikuti YDM Engku Seri Perdana mengadap DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin untuk mengambil Keris Panjang Beruk Berayun. DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin kemudiannya berangkat keluar dari Balairung Seri diiringi paluan Naubat "Raja Berangkat".  

Keberangkatan pulang DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin didahului oleh :-
  1. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Diraja Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor  
  2. Pembawa Sembuana
  3. Yang Dimuliakan Engku Seri Perdana membawa Keris Panjang Beruk Berayun
  4. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Selangor membawa  Al-Quranul-Karim
  5. Panglima Perang Kanan Aman Diraja dan Panglima Perang Kiri Sedia Diraja 
DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin diringi oleh:-

  1. Yang Mulia Anak Raja Berempat
  2. Juruiring Polis dan Tentera
  3. Yang Dimuliakan Tengku Seri Paduka Shahbandar yang membawa tegkolok DYMM Sultan Slangor dan Yang Dimuliakan Engku Maharaja Lela Setia Paduka membawa Keris Gading Diraja
  4. Yang Dimuliakan Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja , Penghulu Adat Istiadat Diraja Selangor dan Yang Dimuliakan Tengku Setia. 


Sumber :- Pertabalan dan Kemahkotaan : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Ke-IX

No comments: