Thursday, October 31, 2013

Presiden Hamid Karzai Mengadap Queen Elizabeth II


31 Oktober 2013, Khamis :-

Presiden Afganistan, Hamid Karzai telah mengadap baginda Queen Elizabeth II di Buckingham Palace semalam. Presiden Hamid Karzai berada di London dalam rangka lawatan lima hari bagi berbincang dengan Presiden Pakistan berhubung isu diantara kedua negara yang bermasalah ini dimana Kerajaan Britain mempengerusikan mesyuarat berkenaan. Beliau dan rombongan tiba di London pada 28 Oktober lepas.

Sumber :- NewsAsia.

Wednesday, October 30, 2013

Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Puan Zanariah Iskandar Dermakan Elaun Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Kepada Yayasan Sultan Iskandar

30 Oktober 2013, Rabu :-

Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail merupakan Sultan Johor ke-4 era moden dan Yang di-Pertuan Agong ke-8.  Almarhum dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8 untuk tempoh lima tahun bermula 24 April 1984 hingga 25 April 1989. Tahukah anda bahawa sewaktu Almarhum Sultan Iskandar menjadi Ketua Negara Malaysia, baginda dan YAM Tunku Puan Zanariah Iskandar telah mendermakan kesemua elauan baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong  untuk tempoh lima tahun yang berjumlah RM3.8 juta kepada Yayasan Sultan Iskandar.

Yayasan Sultan Iskandar merupakan sebuah syarikat berhad yang telah diperbadan dan didaftarkan pada 21 Ogos 1984. Yayasan ini ditubuhkan bagi menganjurkan tujuan-tujuan khairat dan kebajikan seperti yang dinyatakan dalam MOA ("Memorandum of Association").  Objektif utama Yayasan Sultan Iskandar adalah untuk mewujudkan dan mengekalkan dana untuk digunakan bagi tujuan-tujuan berikut:-
  1. Kemajuan pendidikan daripada semua jenis bidang yang diiktiraf oleh sistem pendidikan di Malaysia.
  2. Mengukuh, menjaga dan mentadbir dana biasiswa untuk memajukan moral, intelektual dan pendidikan fizikal serta kebajikan kepada pelajar-pelajar yang sepatutnya menerima dan memerlukan.
  3. Memberi anugerah biasiswa untuk pengajian pra ijazah dan lepas ijazah.
  4. Meringankan beban si miskin dan yang terdesak oleh umur, keuzuran, kurang bernasib baik, tidak terdaya menjaga diri dan tanggungan khasnya balu-balu dan anak-anak yatim.
  5. Menaja mereka yang memerlukan pertolongan daripada segi moral, tujuan sosial atau kebajikan.
  6. Membantu mangsa kebakaran, banjir, kebuluran, takdir tuhan atau lain-lain bencana.
  7. Meringankan kesengsaraan seterusnya meningkatkan taraf hidup manusia dengan memerangi, merawat dan melindungi daripada kesakitan atau keuzuran mahupun penyakit melalui peruntukan perubatan, kemudahan pembedahan dan perkhidmatan.
  8. Memberi bantuan dan meringankan dengan apa jua cara dan hubungan kepada institusi kebajikan.
  9. Memberi, membangun dan meningkatkan semua jenis sukan tetapi tidak terhad kepada memberi padang permainan, kawasan rekreasi dan kemudahan sukan untuk orang awam semata-mata.
Sumber :- Kesultanan Johor / Yayasan Sultan Iskandar

Pengiran Muda Mahkota Hadiri Majlis Syarahan Memorial Sultan Omar ‘Ali Saifuddien 2013

30 Oktober 2013, Rabu :-

Semalam Timbalan Sultan Brunei,  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah  berkenan berangkat ke Majlis Syarahan Memorial Sultan Omar ‘Ali Saifuddien 2013. Turut berangkat dalam majlis ini adalah  Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik yang juga merupakan  Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB dan  Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan. Majlis ini yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa di Barakas ini dihadiri lebih daripada  3,000 peserta yang terdiri daripada anggota-anggota  dari pelbagai sektor awam, swasta, persatuan-persatuan dan individu persorangan.  

Ceramah disampaikan oleh bekas Perdana Meteri Republik Korea Dr. Han Seung-soo. Dalam syarahannya beliau menyatakan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien sebagai seorang Raja yang hebat kerana dapat memodenkan Brunei dan mempertahankan system pemerintahan Beraja dinegara berkenaan. Menurut beliau lagi, Al-Marhum merupakan seorang yang berpandangan jauh dan menjadi inspirasi kepada Negara-negara membangun terutamanya berkenaan rancangan kemajuan negara jangka panjang sekitar tahun 1950. Beliau juga amat mengagumi Brunei yang telah mendahului Republik Korea dalam membuat perancangan jangka panjang yang secara tidak langsung memperlihatkan kewibawaan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien terhadap kebajikan dan hal ehwal rakyatnya.
Sumber :- Pelita Brunei.  

Tuesday, October 29, 2013

Tuanku Abdul Halim Kurnia Surat Cara Perlantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, SPRM


29 Oktober 2013, Selasa :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mengurniakan surat cara perlantikan anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).  Majlis yang diadakan di Istana Negara, Jalan Duta ini turut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Shukri Abdull. Ahli Jawatankuasa ini dilantik dibawah section 14(2) akta SPRM berkuat kuasa mulai 25 May 2013 hingga 24 May 2016. Salah satu daripada tanggungjawab Ahli Jawatankuasa ini adalah sebagai penasihat kepada Perdana Menteri berhubung rasuah di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa beliau akan mencadangkan kepada Parlimen supaya menubuhkan satu jawatankuasa berhubung perilaku rasuah di kalangan wakil rakyat.

Kelihatan Tuanku Abdul Halim berkenan mencemar duli bergambar bersama-sama Ahli-Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia  selepas majlis pengurniaan surat cara perlantikan mereka di Istana Negara. Berdiri dari Kiri adalah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abd Rahman ; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim ; Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw ; Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Doris Sophia Brodi ; Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang ; Tuanku  Abdul Halim ; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed ; Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Shukri Abdull ; Ahli Parlimen Kota Baharu, Datuk Takiyuddin Hassan ; Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd Nor.

Sumber :-Bernama / theSun

Monday, October 28, 2013

Bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu Didakwa Pertikai Titah Sultan Terengganu

28 Oktober 2013, Isnin :-

Bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato' Hj Ismail Yahya telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Terengganu semalam 27 Oktober 2013 atas tuduhan menghina Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu atau MAIDAM serta mempertikaikan titah  Sultan Terengganu dalam penstrukturan semula jawatankuasa agama berkenaan.  Dato' Hj Ismail mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan dan minta dibicarakan. Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. Jika sabit kesalahan akan dipenjara dua tahun atau denda RM3,000.00. Perbicaraan akan diadakan pada 26 Februari 2014. Dato' Hj Ismail telah diikat jamin dengan bayaran RM1,600.00. 

Pertuduhan yang dikenakan kepada bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato' Hj Ismail Yahya adalah seperti berikut:-

Pertuduhan Pertama 

Bahawa kamu :

Pada 29 Oktober 2013 telah menghina Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dengan kata-kata :

"oleh yang demikian jelas kelihatan bahawa usaha MAIDAM untuk mengambilalih pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu dibawah kawalannya adalah perbuatan maksiat.

Pertuduhan Kedua

Bahawa kamu :

Mempertikaikan arahan DYMM Sultan sebagai Ketua Agama Islam yang mengampuni perkenan pelaksanaan penstrukturan baharu Institusi Pentadbiran Agama islam dan Adat Istiadat Melayu dengan kata-kata :
  1. Adakah hasrat hendak meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah dibawah MAIDAM dibuat secara musyawarah atau mengikut kehendak sesorang.  jika hasrat berkenaan itu diputuskan atas pandangan sesorang, apakah MAIDAM meninggalkan ajaran Islam sebagai firman Allah dalam ayat 38 atau sebahagiannya dari Surah Al-Syura itu? 
  2. Adakah cadangan yang hendak dilaksanakan itu, bermaksud mahu mencampuradukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran.
  3. Adakah MAIDAM tidak mahu mengikuti hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang tersedia dalam negara?
Kesalahan-kesalahan yang disebutkan diatas  dilakukan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, Terengganu. Dato' Hj Ismail Yahya dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Terengganu mulai 01 April 2008 hingga 28 Februari 2013.

Sumber :- Kosmo

Sunday, October 27, 2013

Dua Abdul Rahman Jadi Ketua Kerajaan dan Ketua Negara


Kelihatan Perdana Menteri Pertama, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Mencium Tangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Pertama, Tuanku Abdul Rahman.

27 Oktober 2013, Ahad :-

Tahukah anda secara kebetulan selepas negara kita mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957, Dua orang individu bernama Abdul Rahman berada dikedudukan utama sebagai pemimpin negara kita.  Seorang menjadi Ketua Kerajaan iaitu sebagai Perdana Menteri dan seorang lagi sebagai Ketua Negara yang dikenali dengan panggilan Yang di-Pertuan Agong. Mereka adalah Perdana Menteri Pertama Malaysia Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid  Halim Shah dari Kedah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad  dari Negeri Sembilan.


YTM Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri mulai 31 Ogos 1957 hingga 1964.  YTM Tunku  diputerakan pada 08 Februari 1903 dan mangkat pada 06 Disember 1990 dalam usia 87 tahun dan  dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah. 


Tuanku Abdul Rahman dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama mulai 31 Ogos 1957 hingga 01 April 1960.  KDYMM Tuanku Abdul Rahman diputerakan pada 24 Ogos 1895 dan mangkat pada dalam usia 64 tahun pada 01 April 1960 dan tidak sempat menamatkan tempoh 5 tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.  KDYMM Tuanku Abdul Rahman dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti, Negeri Sembilan.

MWNBD Raikan Hari Puja Usia Raja Isteri

27 Oktober 2013, Ahad :-

Semalam Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) telah meraikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam dalam Majlis Sambutan Hari Puja Usia (Hari Lahir).  Majlis diadakan di Manggis Ballroom, Hua Ho Manggis Mall, Bandar Seri Bagawan. Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri disambut oleh Yang Di-Pertua MWNBD, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi MWNBD. 

Turut mengiringi baginda dalam majlis ini adalah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

Sumber :- Pelita Brunei

Saturday, October 26, 2013

Sultan Brunei Hadiri Majlis mengangkat Sumpah Kehakiman bagi Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Rayuan

26 Oktober 2013, Sabtu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal BolkiahWaddaulah ibni AMarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri  Majlis mengangkat Sumpah Kehakiman bagi Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Rayuan,Yang Arif Michael Peter Burrell. Majlis berlangsung di Istana Nurul Iman ini turut dihadiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Datin Seri Rosmah Mansor Terima DK Pahang

26 Oktober 2013, Sabtu :-

Sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang yang ke-83 tahun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah berkenan mengurniakan Darjah Kerabat (DK) Seri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Datin Seri Rosmah Mansor menerima darjah kebesaran berkenaan dalam satu majlis yang diadakan malam semalam di Istana Abu Bakar, Pekan,Pahang.

Sumber :- Bernama



Friday, October 25, 2013

PM Mengadap Yang di-Pertuan Agong Mohon Perkenaan Membentangkan Bajet 2014


25 Oktober 2013, Jumaat :- 

Pagi tadi Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Negara.  Tujuan YAB Perdana Menteri mengadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah untuk memohon perkenan Tuanku Abdul Halim untuk membentangkan Bajet 2014 yang akan dibentangkan pada petang ini di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen.

Sumber :- Bernama

Thursday, October 24, 2013

Perkahwinan Puteri keempat Sri Sultan Hamengkubuwono XI Penuh Adat Istiadat Diraja



24 Oktober 2013, Khamis :-

Pesta keramaian sempena perkahwinan Puteri keempat Sri Sultan Hamengkubuwono XI, Sultan di Daerah Istemewa Yogyakarta berlangsung dengan penuh adat istiadat diraja. Istiadat Nyekar atau mengunjungi makam diraja dilaksanakan pada 13 Oktober 2013 di Panembahan Senopati.  Istiadat Nyantri atau bersiram dilakukan pada 21 Oktober 2013 di Bangsal Kasatriyan dan Sekar Kedhaton. Pada hari yang sama juga diadakan istiadat yang dipanggil Majang Pasareyan, Tarub dan Bleketepe  di Gedog Proboyekso, Pagelaran, Kuncung Tratag Bangsal Kencana. Bakal pengantin perempuan kemudiannya akan melakukan istiadat Tantingan dan Midodareni.

Istiadat Akad Nikah yang diadakan di Masjid Panepen Kraton Yogyakarta pada 22 Oktober 2013.  Akad nikah dijalankan dalam bahasa Jawa walaupun pengantin lelaki bukanlah dari keturunan Jawa. Setelah itu mempelai akan menjalani istiadat yang dipanggil Panggih di Tratag Bangsal Kencana dan Tampa Kaya dan Dahar Klimah di Bangsal Kasatriyan.

Semalam pula diadakan upacara perarakan atau dikenali sebagai "Kirab Kereta Kencana" yang membawa maksud pemimpin bersatu dengan rakyat atau dalam bahasa Jawa disebut "Manunggaling Kawulo Gusti. Perarakan bermula dari Keraton Yogyakarta menuju Bangsal Kepatihan dan seterusnya ke Jalan Malioboro. Kemudiannya diadakan Istiadat Persandingan Diraja. Setelah Istiadat Persandingan Diraja selesai, kedua mempelai akan menghadiri istiadat yang dipanggil pamitan pada sebelah malam di Gedhong Jene yang dihadiri oleh kaum keluarga kedua belah pihak pengantin sebagai penutup istiadat perkahwinan mereka.

Majlis Persandingan Diraja ini turut dihadiri oleh Presiden Indonesia dan Isteri, barisan Menteri Kabinet serta perwakilan asing  dan mendapat liputan media antarabangsa.  Gusti Kanjeng Ratu Hayu bertemu jodoh dengan rakyat biasa bernama Anger Pribadi Nugroho setelah mengenali hati budi masing-masing selama 10 tahun. Kedua-dua pasangan ini merupakan lulusan universiti daripada Amerika Syarikat. Dengan perkahwinan ini, pengantin lelaki diberi gelaran Kanjeng Pangeran Haryo Notonegoro.  KPH Notonegoro bertugas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.



Sumber :- Okezon.com / Utusan Malaysia

Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang Ke-83 Tahun

24 Oktober 2013, Khamis :-



D A U LA T   T U A N K U

Patek Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Tahniah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang
Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah 
D.K.P., D.K., D.K.M., S.S.A.P., S.I.M.P., D.M.N., D.K.(Perak), D.K.(Johor), D.K.(Kelantan), D.K.(Terengganu), D.K.(Perlis), D.K.(Kedah), D.K.M.B., D.K.(Brunei), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Selangor), Qiladah Badr Al-Kubra (Saudi Arabia), Qiladah Al-Sheikh Mubarak Al-Kabir (Kuwait), Grand Order of the Mugunghwa (South Korea), Hon. D.Litt (Malaya), LLD hc (Northrop, USA), Hon.D.Sc. (Bedfordshire, UK.), Hon. PhD. (Civil Engineering) Universiti Malaysia Pahang).


Sultan dan Raja Pemerintah Bagi Negeri Pahang Darul Makmur Serta Segala Jajahan Takluknya Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda 
Ke-83 Tahun
Pada 24 Oktober 2013 bersamaan 19 Zulhijjah 1434H


Semuga Allah Memanjangkan Usia Tuanku Sultan dan Diberikan Kesihatan Yang Baik Agar Dapat Terus Menerajui Tahta Negeri Pahang Darul Makmur.
Amin.

Sembah Takzim Daripada


M a h a r u m    B u g i s    S y a h

Wednesday, October 23, 2013

Bekas Menantu Sultan Abu Bakar Pahang Meninggal Dunia


Gambar terbaru Allahyarhamah pada Februari 2013 semasa menghadiri majlis sambutan hari lahir Dato' Raja Rezza Shah atau Shah Reza.


23 Oktober 2013, Selasa :-

Pelakon dan penyanyi era 80-an, Noreen Noor atau nama sebenarnya Noraine Mohd. Nor telah meninggal dunia pagi semalam 22 Oktober 2013 jam 05:50hrs di Hospital Pakar Ampang Puteri dalam usia 54 tahun akibat komplikasi buah pinggang dan jantung disebabkan penyakit darah tinggi. Allahyarhamah merupakan bekas Menantu kepada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah. Allahyarhamah berkahwin dengan Tengku Dato' Seri Kamarul Zaman ibni Almarhum Sultan Abu Bakar tetapi perkahwinan itu berakhir dengan penceraian pada 11 Ogos 1984.  Allahyarhamah juga pernah berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamed Jiwa atau lebih dikenali dengan nama Datuk K dan perkahwinan ini juga tidak kekal. Jenazah Allahyarhamah telah selamat disempurnakan semalam selepas Solat Zohor di Kampung Pulai, Serkam, Melaka. Allahyarhamah meninggalkan dua orang cahayamata, Danial Baharuddin (21 tahun) dan Diana (11 tahun).

Al-Fatihah :-
Semuga Rohnya Allahyarhamah Noraine Mohd. Nor @ Noreen Nor ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber :- Kosmo / The Royal Ark

Monday, October 21, 2013

Ahmad Jalil Didenda RM20K Kerana Hina Sultan Johor


Gambar Ahmad Jalil pada 2012

21 Oktober 2013, Isnin:-

Mahkamah Sesyen Johor Baharu hari ini mengenakan denda RM20,000.00 kepada  Ahmad Jalil (28 tahun) kerana didapati bersalah diatas tuduhan menghina Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar. Ahmad Jalil yang berkerja sebagai Juruukur Bahan melakukan kesalahan berkenaan pada Oktober 2012 melalui laman sosial Facebook. keputusan dibuat oleh Hakim Muhammad Jamil Husin setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes ini.

Ahmad Jalil didakwa memuat naik satu status menghina Sultan Johor di akaun laman Facebook yang didaftarkan atas nama 'Zul Yahya' di Dewan Tan Sri Mohamad Rahmat, Kampung Pasir, Tampoi pada kira-kira 3 petang, 21 Oktober 2013. Ahmad Jalil juga didakwa melakukan perbuatan yang sama di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada kira-kira 6 petang, 10 Oktober 2012. 

Ahmad Jalil didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM50,000 dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabitkan.


Ahmad Jalil yang ketika itu berusia 27 tahun mengaku tidak bersalah diatas pertuduhan berkenaan.

Sumber :- Bernama/Kesultanan Johor/Sinar Harian

Sunday, October 20, 2013

Majlis Akikah, Cukur Jambul dan Berendoi Raja Nurqasrina



20 Oktober 2013, Ahad :-

Tengahari semalam salah seorang kerabat diraja Perak, Raja Rashid Raja Zaharuddin dan isteri, Hidayah Nomli telah mengadakan Majlis Akikah, Cukur Jambul dan Berendoi puteri sulong mereka, Raja Nurqasrina di Ipoh, Perak. Raja Nurqasrina merupakan cucunda sulung kepada Raja Zaharuddin Raja Yop Rashid dan Raja Azura Raja Jaafar dari jurai keturunan Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah ibni Almarhum Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’adzam Shah, Sultan Perak ke-26 yang telah dibuang negeri oleh Penjajah ke Pulau Seychelles berikutan kes pembunuhan Residen British J.W.W. Birch. Turut serta dalam majlis ini adalah Yang Teramat Mulia Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan isteri Yang Teramat Mulia Tunku Dato’ Seri Soraya bt. Sultan Abdul Halim serta kerabat diraja Perak dan Selangor.

Syah mendoakan agar adik Raja Nurqasrina Raja Rashid sentiasa dilindungi Allah, Dipanjangkan Umur, Diberi Kesihatan Yang Baik, Dimurahkan Rezeki serta Menjadi Anak Yang Menjadi Kebangaan Kedua Ibubapanya.  Amin.......



Kelihatan Yang Teramat Mulia Tunku Dato’ Seri Soraya bt. Sultan Abdul Halim, Puteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah bersama Raja Nurqasrina.

Sumber :- T Soraya

Saturday, October 19, 2013

Makam Tok Temong Telah Dinaik Taraf

19 Oktober 2013, Sabtu :-


Makam Tok Temong yang telah dinaik taraf.

Shukur Alhamdulillah proses menaik taraf Makam Tok Temong telah siap sepenuhnya pada Mei 2013. Kerja-kerja menaik taraf dimulakan pada hujung Januari 2013 dan Majlis Doa Selamat telah diadakan pada 14 Januari 2013. Pada 05 Julai 2013 telah diadakan Majlis Penyerahan Projek Kerja Ubahsuai Makam Tok Temong yang telah disempurnakan oleh Pengarah Kerja Raya Perak, Toh Paduka Setia Dato' Dr. Safry Haji Ahmad kepada Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Puan Nor Janti Ibrahim. Dari sumber yang didengar, kos menaik taraf Makam Tok Temong lebih kurang berjumlah hampir RM400,000.00.............Wallahu a’lam. 

Makam Tok Temong sebelum kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan

Siapakah Tok Temong?  Jika anda seorang pencinta Sejarah atau anda berasal dari negeri Perak Darul Ridzuan, mungkin anda pernah mendengar cerita mengenainya.  Mengikut ceritanya, Tok Temong ini adalah seorang wanita dan merupakan Pemerintah di Temong dalam kawasan Hulu Perak sebelum Kesultanan Perak wujud lagi. Beliau merupakan anak perempuan kepada Bendahara Tun Perak dari Melaka dan juga merupakan adinda kepada Tun Saban yang juga merupakan seorang pemerintah di Belum, Hulu Perak dan juga merupakan salah seorang individu  yang mengadap Sultan Mahmud (Sultan Melaka Terakhir) di Kampar untuk meminta salah seorang putera baginda di Rajakan di Perak.  Nama asal Tok Temung adalah Tun Perabu dan apabila dilantik sebagai pemerintah Temong, beliau menggunakan gelaran Tok Puan Putih.  Selepas kemangkatannya, beliau dikenali sebagai Tok Temong.

Batu Nesan Tok Temong

Apabila Raja Mudzaffar ditabalkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak pertama sekitar tahun 1528 disebuah kawasan bernama Tanah Abang, Tok Temung telah hadir ke Istiadat berkenaan dengan diiringi oleh 77 ekor gajah.  Dalam istiadat ini Tok Temong  telah menghadiahkan sebiji geliga bernama "Mestika Embun" kepada Raja Mudzaffar. Sebagai balasan, baginda telah mengurniakan sebuah bekas sirih yang dikenali sebagai Puan Bujur tetapi dikembalikan semula oleh Tok Temong kepada baginda. 

Mestika Embun

Tok Temong hanya mahukan satu aku janji dimana baginda Sultan dan keturunanya hendaklah memerintah disebelah kanan mudik Sungai Perak manakala Tok Temong serta anak cucunya memerintah disebelah kiri mudik Sungai Perak. Baginda Sultan telah memberi perkenaan kepada permintaan Tok Temong. Sebab itulah Istana-Istana dan makam-makam Sultan-Sultan Perak pada zaman dahulu terletak disebelah kanan mudik Sungai Perak. Walau bagaimanapun Almarhum Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah telah mengubah tradisi ini dengan mengalihkan Istana, pusat pemerintahan dan makam-makam diraja disebelah kiri mudik Sungai Perak iaitu Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Kerja-kerja menaik taraf Makam Tok Temong sedang dijalankan.

Tok Temong mangkat di Kampong Temong dan dimakamkan dalam satu kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai Kampung Temong Ulu, Mukim Chegar Galah, Kuala Kangsar terletak diantara Jalan Kota Lama ke Kati berhampiran Jambatan Iskandar. Tok Temung merupakan seorang individu yang mempunyai kedudukan yang tinggi di Perak dan dianggap keramat dimana setiap Sultan Perak yang baru ditabalkan adalah diwajibkan menziarahi makamnya terlebih dahulu sebelum menziarahi makam-makam Sultan lainnya.  Mustika Embun pemberian Tok Temong kepada Sultan Perak Pertama merupakan salah satu Alat Kebesaran Diraja Negeri Perak Darul Ridzuan dan digunakan semasa Istiadat Pertabalan Sultan  dari zaman dahulu hingga ke hari ini.  

Toh Paduka Setia Dato' Dr. Safry Haji Ahmad dan Puan Nor Janti Ibrahim pada Majlis Penyerahan Projek Kerja Ubahsuai Makam Tok Temong.

Sumber :- JKR Perak/Artmelayu.blogspot/Individu-Individu yang tidak mahu namanya dikenali

Thursday, October 17, 2013

Daging Korban Sultan Brunei dan Keluarga Diraja Diagihkan Kepada Mereka Yang Berhak Menerimanya


17 Oktober 2013, Khamis :-

Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Raya Aidiladha pada 16 Oktober 2013 bersamaan hari Rabu, semalam berbanding dengan kita pada hari Selasa 15 Oktober 2013. Sudah menjadi kelaziman setiap tahun apabila menjelang sambutan Aidiladha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan keluarga diraja akan melaksanakan ibadah korban dan daging korban diagihkan kepada rakyat baginda di seluruh negara yang berhak menerimanya. Ibadah korban dilakukan dalam masa empat hari bermula waktu selepas Khatib menyampaikan khutbah Hari Raya Aidiladha sehingga sebelum tengelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah. 


Di Daerah Tutong, 57 keluarga fakir miskin menerima sumbangan daging korban baginda dan kerabat diraja yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Komplek Kemasyarakatan disampaikan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali. Bagi Daerah Kuala Beliat pula seramai 77 ketua keluarga bagi golongan asnaf fakir miskin menerima daging korban baginda dan kerabat diraja yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman di Dewan Kemasyarakatan, Kampung Pandan.

Bagi Daerah Temburong pula seramai 157 orang asnaf fakir miskin  menerima sumbangan daging korban baginda dan keluarga diraja yang berlangsung di Dewa Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Abdul Hamid bin Dato' Paduka Haji Abdullah. Di Bandar Seri Bagawan pula seramai 1,809 fakir miskin di Daerah Brunei dan Muara menerima sumbangan daging korban baginda dan kerabat diraja yang berlangsung di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara. Daging-daging korban berkenaan diagihkan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain.

Daging-Daging korban Baginda dan keluarga diraja diletakkan dalam bekas khas bewarna kuning sebelum diedarkan kepada penerima. Setiap majlis yang diadakan dimulai dengan bacaan surah Al-Fatihah diikuti Takbir Hari Raya. Para penerima merupakan golongan yang berhak menerima daging korban yang telah didaftarkan dibawah Majlis Ugama Islam Brunei atau MUIB dibawah Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam.


Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei/Pelita Brunei

Wednesday, October 16, 2013

Pengiran Muda Mohamed Bolkiah Menerima Mengadap Pesuruh Jaya Tinggi Malaysia.


16 Oktober 2013, Rabu :- 


Semalam, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Brunei, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali  Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien telah berkenan menerima mengadap Pesuruh Jaya Tinggi Malaysia.  Datuk Awang Sahak Awang Salleh merupakan Pesuruhjaya Tinggi negara kita ke Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan beliau telah mengadap Sultan Brunei pada 02 Oktober lepas untuk menyembahkan Surat perlantikan.  Majlis diadakan di Balai Penghadapan, Bukit Kayangan di Bandar Seri Bagawan.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Monday, October 14, 2013

Selamat Hari Raya Aidiladha


14 Oktober 2013, Isnin :-

Syah mengambil kesempatan ini untuk mengucap Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pembaca setia dan pengunjung tengkusyah.blogspot.com. Kepada yang balik ke kampung halaman masing-masing, hati-hati semasa memandu di jalan raya.  Sebentar lagi Syah akan berangkat ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga dan tiada entry dari Syah mulai hari ini hingga Selasa.  Insyallah kita berjumpa lagi pada hari Rabu.

Sunday, October 13, 2013

Raja Azmi Sah Bergelar Isteri Kepada Eddie


Click Gambar untuk imej yang lebih besar

13 Oktober 2013, Ahad :- 

Tahniah dan Shukur Alhamdulillah .............. Raja Azmi Raja Sulaiman telah selamat diijab kabulkan dengan pasangannya  Mohd Eddie Ghazali atau Eddie lebih kurang jam 21:00hrs tadi diIstana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.  Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 15 Julai lepas dikediaman Raja Azmi di Ukay Perdana, Hulu Klang.  Syah doakan agar Raja Azmi dan Eddie dipanjangkan jodoh hingga akhir hayat.  Amin

Sumber :- Mohd Fairul

Sultan Abu Bakar (Johor) Hadiahkan Monumen Prince Albert Kepada Baginda Queen Victoria

13 Oktober 2013, Ahad :- 

Ini adalah salah satu hadiah yang diterima oleh Mendiang Baginda Queen Victoria sempena sambutan Jubli Emas Pemerintahan Baginda pada tahun 1887.  Tahukan anda bahawa hadiah ini merupakan pemberian daripada Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Johor Pertama Era Moden sempena sambutan Jubli Emas berkenaan. Hadiah ini berupa monumen atau bangunan peringatan bagi Prince Albert yang diperbuat daripada perak, emas dan enamel atau persolen.  Prince Albert merupakan suami atau Queen Consort kepada baginda Queen Victoria yang telah meninggal dunia pada tahun 1861. Hadiah ini telah dipersembahkan kepada baginda oleh wakil Almarhum Sultan Abu Bakar yang berada di England ketika itu.  Baginda Queen Victoria begitu menghargai pemberian rakan karibnya ini sehingga baginda meletakkan hadiah berkenaan di Istana Windsor untuk tatapan umum. 


Ini adalah Albert Memorial yang terletak London Kensington Garden

Sumber :- Kesultanan Johor / BBC News Pic

Saturday, October 12, 2013

Yang Mulia Raja Aziah binti Almarhum Raja Dihilir Raja Dato' Seri Ahmed Hisham Mangkat

12 Oktober 2013, Sabtu :-

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Baru sebentar tadi sebelum solat Zohor jenazah Allahyarhamah Yang Mulia Raja Aziah binti Almarhum Raja Dihilir Raja Dato' Seri Ahmed Hisham telah selamat dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Allahyarhamah merupakan anak perempuan kepada Bekas Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan (01.08.1978 - 21.09.1997), Duli Yang Amat Mulia Raja Dato' Seri Ahmed Hisham bin Raja Abdul Malik dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Raja Nor Kamar binti Raja Salim. 

Allahyarhamah mangkat semalam di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak  dalam usia 76 tahun setelah mengalami masalah sesak nafas disamping beberapa penyakit lain disebabkan faktor usia. Allahyarhamah meninggalkan suami Raja Shahrin bin Raja Ailan serta sepasang cahayamata.

Al-Fatihah 

Semuga Rohnya Allahyarhamah Raja Aziah binti Almarhum Raja Dihilir Raja Dato' Seri Ahmed Hisham ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah semuga kalian sabar menghadapi dugaan ini.

Sumber : Ku Jannah/Ku Yam/ Sembang Kuala

Sultan Ibrahim Hadiri Majlis Pengisytiharaan Solat Jumaat Terakhir Masjid Polis Depoh IPK Johor

12 Oktober 2013, Sabtu :-

Semalam Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah menunaikan Solat Jumaat di Masjid Polis Depoh, Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor yang terletak di Jalan Tebrau, Johor Baharu. Selain daripada itu keberangkatan Tuanku Ibrahim ke masjid ini adalah untuk menghadiri Majlis Pengisytiharaan Solat Jumaat Terakhir Masjid Polis Depoh kerana masjid ini akan dirobohkan untuk membangunkan sebuah masjid yang baru. Sebuah surau disediakan di bahagian FRU untuk kemudahan bersolat kecuali tiada Solat Jumaat diadakan di surau berkenaan.

Turrut serta mengiringi Tuanku Ibrahim adalah Tunku Laksamana Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim; Ketua Polis Johor, SDCP Dato' Mohd. Mokhtar Hj Mohd. Shariff ; Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Dato' Ismail Yatim ; Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Polis Daerah, Pegawai-Pegawai Kanan PDRM Johor, anggota-anggota dan kakitangan awam kontijen Polis Johor.

Sumber :- Kesultanan Johor / Polis Johor

Thursday, October 10, 2013

Selamat Puja Usia Ke-67 Tahun Kepada KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri

Gambar terbaru dalam usia 67 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ketika Majlis Mengadap Isteri-Isteri United Nation di Istana Nurul Iman Hari ini.

10 Oktober 2013, Khamis :- 

Syah mengambil kesempatan ini merafak sembah mengucapkan Selamat Menyambut Hari Puja Usia yang ke-67 tahun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri diputerikan pada 07 Oktober 1946.

Wednesday, October 9, 2013

Temenggong Daeng Ibrahim Keluarkan Surat Sungai

Raja Temenggong Tun Daeng Ibrahim 

09 Oktober 2013, Rabu :-

Pemerintah Kerajaan Johor, Raja Temenggong Tun Daeng Ibrahim buat pertama kalinya telah mengeluarkan Surat Sungai yang merupakan surat untuk memberi kebenaran kepada orang Cina untuk menjalankan aktiviti pertanian di Johor pada 1844. Surat pertama ini dikeluarkan kepada seorang pekebun Cina bernama Lau Ling Keng pada 09 Oktober 1844.  Dengan ini bermulalah penghijrahan orang-orang  Cina dari Singapura ke Johor dan bermulanya penanaman lada hitam dan gambir secara komersial di Tanah Melayu. Penanaman gambir dan lada hitam berkembang dengan pesat bermula 1844 hingga 1860an di Johor. Pada tahun 1862 sebanyak 37 Surat Sungai telah dikeluarkan dan pada masa itu terdapat seramai 30,000 orang petani Cina di Johor.

Dalam surat berkenaan dinyatakan :-

'Ungku Temenggong Seri Maharaja' memberi surat tanda keterangan kepada orang Cina yang hendak berkebun itu juga dalam tanah Johor. Di dalam Surat Sungai itu juga dijelaskan bahawa Tuan Sungai mesti membayar cukai kepada Ungku Temenggong. Kegagalan untuk berbuat demikian selama tiga tahun, Tuan Sungai tersebut akan menerima denda yang berat.

Dengan adanya dokumen-dokumen seperti ini memperlihatkan perubahan dari segi sistem pentadbiran tradisional Negeri-Negeri Melayu di abad ke-19 menuju kearah kemodenan.


Sumber :- Arkib Negara Malaysia / Wikipedia

Tuesday, October 8, 2013

Sultan Muhammad V Dijangka Menaja Pembinaan Makam Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah

Sila click gambar untuk imej yang lebih besar

08 Oktober 2013, Selasa :- 

Inilah dia pusara Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah binti Tengku Ahmad yang mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 25 September lepas dalam usia 83 tahun. Allahyarhamah dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Jalan Langgar, Kota Baharu, Kelantan. Dengar khabarnya Al-Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhaammad V akan menaja pembinaan makam Allahyarhamah. Dengarnya lagi, keluarga Allahyarhamah tidak mahu pembinaan makam Allahyarhamah melebihi makam Ayahandnya,  Tengku Ahmad atau Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Raja Tengku Long Ahmad bin Tengku Long Abdul Ghafar.

Al-Fatihah .............. semuga rohnya Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah binti Tengku Ahmad ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin.

Monday, October 7, 2013

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah Sertai Pertandingan Golf Empat Penjuru Piala Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah


07 Oktober 2013, Isnin :-

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan menyertai Pertandingan Golf Empat Penjuru Piala Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang berlangsung di Taiping Golf Resort, Taiping, Perak. Kelihatan Tuanku Abdul Halim bersama Yang Teramat Mulia Tunku Tan Sri Dato' Seri Diraja Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Sri Zulkiple Kassim. Manakala gambar dibawah kelihatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun melakukan pukulan “tee off” dalam pertndingan pagi tadi.

Sumber :- Bernama

Sunday, October 6, 2013

Potrait YMM Almarhumah Raja Perempuan Muzwin Perak Bersama Keluarga

Sila click gambar untuk imej yang lebih besar

06 Oktober 2013, Ahad :-


Ini adalah potrait Almarhumah Yang Maha Mulia Raja Perempuan Muzwin Perak bersama anakanda-anakanda dan cusunda-cucunda Almarhumah.  Almarhumah merupakan permaisuri kepada Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Almutawakkil Allallahi Syah (Marhum Affifullah), Sultan Perak ke-33 iaitu Sultan Perak sebelum Sultan Azlan Shah.  Hasil perkahwinan diantara Almarhumah bersama Almarhum telah dikurniakan empat orang cahayamata yang terdiri daripada dua putera dan dua puteri iaitu Yang Teramat Mulia Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain (kanan duduk), YAM Raja Dato' Seri Jamil Ariffin (kiri duduk), YAM Raja Puan Mahkota Perak Raja Dato' Seri Nazhatul Shima (duduk baju bewarna merah)  dan Isteri kepada DYMM Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah (duduk berbaju putih dan hitam).

Sila click entry Syah terdahulu mengenai :-
  1. Marhum Affifullah
  2. Kemangkatan Raja Perempuan Muzwin Perak

Sumber :- Didi/MBS

Saturday, October 5, 2013

Jabatan Mufti Johor Ziarah Makam Diraja Brunei



05 Oktober 2013, Sabtu :- 

Rombongan daripada Jabatan Mufti Johor telah menziarahi makam bekas Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz di Kubah Makam Diraja Brunei pada petang semalam sebelum solat Asar. Delagasi dari Johor ini diketuai oleh Penasihat Majlis Islam Negeri Johor, Dato' Noh Gadut (berdiri dihadapan makam berbaju biru).  

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz  merupakan anak jati negeri Johor Darul Takzim.  Sila click entry Syah berhubung Allahyarham secara ringkas.
AL-Fatihah ......... Semuga Rohnya Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber : Runy

Thursday, October 3, 2013

Susunan Kekananan Raja-Raja Melayu Diperingkat Persekutuan

03 Oktober 2013, Khamis :-

Hari ini Syah hendak berkongsi dengan anda semua susunan kekananan Raja-Raja Melayu di peringkat Persekutuan.  Kebanyakan kita ada kalanya merasa keliru dengan penggunaan Duli Yang Maha Mulia atau Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang digunakan oleh Raja-Raja Melayu sehingga ada yang menggunakanya sesuka hati.  Begitu juga ada yang keliru siapa yang lebih kanan diantara Raja-Raja Melayu.

Senarai susunan kekananan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri adalah seperti berikut:- 



YANG DI-PERTUAN AGONG MALAYSIA XIV

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, D.K., D.K.H., D.K.M., D.M.N., D.U.K., D.M.K., D.K.(Kelantan), D.K.(Pahang), D.K.(Selangor), D.K.(Perlis), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Johor), D.K.(Terengganu), D.K.(Perak), D.K. (Brunei), D.P.(Sarawak), D.U.N.M., S.M.D.K., S.H.M.S., S.G.M.K., S.P.M.K., S.S.D.K., Grand Cordon of The Order of the Rising Sun of Japan, Bintang Maha Putra Adipradana (Indonesia), Order of the Rammata Thailand, Honourable Knight Grand Cross Order of the Bath of U.K., Asso. Knight Order of St. John., Hon. Ph.D (UUM), Collar of the Supreme Order of the Chrysanthemum and Grand Cordon of the Supreme Order of the Chrysanthemum (Japan), The Knight of the Most Illustrious Order of the Royal House of Chakri (Thailand) - (Naik Takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pada 15hb. Julai 1958 dan ditabalkan pada 20hb. Februari 1959, tarikh dilantik menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-V (kali pertama) pada 21.09.1970 dan tarikh dilantik menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-XIV (kali kedua) pada 13hb Disember 2011)

SULTAN PAHANG

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, D.K.P., D.K., D.K.M., S.S.A.P., S.I.M.P., D.M.N., D.K.(Perak), D.K.(Johor), D.K.(Kelantan), D.K.(Terengganu), D.K.(Perlis), D.K.(Kedah), D.K.M.B., D.K.(Brunei), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Selangor), Qiladah Badr Al-Kubra (Saudi Arabia), Qiladah Al-Sheikh Mubarak Al-Kabir (Kuwait), Grand Order of the Mugunghwa (South Korea), Hon. D.Litt (Malaya), LLD hc (Northrop, USA), Hon.D.Sc. (Bedfordshire, UK.), Hon. PhD. (Civil Engineering) Universiti Malaysia Pahang). - (Naik Takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur pada 7hb. Mei 1974 dan ditabalkan pada 6hb. Mei 1975)

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.A., D.K.(Kelantan), D.K.(Terengganu), D.K.(Perlis), D.K.(Johor), D.K.(Selangor), D.K.(Kedah), D.K.M.B.(Brunei), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Pahang), S.S.M., P.M.N., P.S.M., S.P.C.M., S.P.T.S., S.P.M.P., S.I.M.P., Hon. Knight Grand Cross (Civil Division) of The Order of The Bath (U.K.), The Bintang ADI PURNA (Republic of Indonesia), The Most Auspicious Order of The Rajamitrabhorn (Thailand), Grand Order of Mugunghwa (Republic of Korea), Collar of The Japanese Order of The Chrysanthemum and Grand Cordon of The Supreme Order of The Chrysanthemum (Japan), Civil Order, 1st. Class (Oman), Grand Cross Special Class of the Order of Merit of the Federal Republic of Germany (Germany), Orden Al-Merito De Chile (Republic of Chile), and Order of Hussein ibni Ali (Qiladah Al-Hussein bin Ali, JORDAN). - (Naik Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 3hb. Februari 1984 dan ditabalkan pada 9hb. Disember 1985).

SULTAN TERENGGANU

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, D.K.T., D.K.R., D.K., D.K.M., D.M.N., S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K. (Johor), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d'Honneur (France), The Most Auspicious Order of The Rajamitrabhorn (Thailand), Collar De La Orden Al Merito De Chile (Chile), Necklace of Independence (Qatar), Bintang Republik Indonesia ADIPURNA (Indonesia). - (Naik Takhta Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman pada 15hb. Mei 1998 dan ditabalkan pada 4hb. Mac 1999).

RAJA NEGERI PERLIS

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, D.K.P., D.K., S.S.P.J., D.K.M., D.M.N., D.K. (Perak), D.K (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Selangor), D.K. (Pahang), D.K. II (Terengganu), S.P.M.J., S.P.C.M., S.S.M.T., Grand Order of King Tomislav (Croatia), Grand Collier De L'Independence (Grand Medal of the Independence) - Cambodia, Grand Croix De L'Ordre (Royal Sash) - Cambodia, Cavaliere Di Gran Croce Decorato Di Gran Cordone (Italy), Qiladah Badr Al-Kubra (Arab Saudi), Decoration of Omayad - The Finest Decoration (Syria), Knight of the Royal Order of the Seraphim (Sweden), Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure (Japan).- (Naik Takhta Kerajaan Negeri Perlis pada 17hb. April 2000 dan ditabalkan pada 7hb Mei 2001).

SULTAN SELANGOR

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, D.K., D.M.N., D.K. (Terengganu), D.K. (Kelantan), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Johor), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., Commandeur de la Legion d'Honneur (France). - (Naik Takhta Kerajaan Negeri Selangor pada 22hb. November 2001 dan ditabalkan pada 8 Mac 2003)

YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, D.K., D.M.N., D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Selangor), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Johor), D.K. (Terengganu), D.K.Y.R., P.P.T. - (Naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus pada 29 Disember 2008 dan ditabalkan pada26hb Oktober 2009).

SULTAN JOHOR

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar - (Naik Takhta Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim pada 23hb. Januari 2010)

AL-SULTAN KELANTAN

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, D.K., D.M.N., D.K. (Selangor), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Johor), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Kedah), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K. - (Naik Takhta Kerajaan Negeri Kelantan pada 13hb. September 2010).

PEMANGKU SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN *

-

YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin, S.M.N., D.P., S.P.M.P., S.P.D.K., D.U.P.N., D.U.N.M., P.C.D. :-

Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 2hb. April 1977 hingga 1hb. April 1981;
Dilantik semula pada 5hb Disember 2000 selama tempoh 4 tahun;
Dilantik semula pada 5hb Disember 2004 selama tempoh 2 tahun;
Dilantik semula pada 5hb Disember 2006 selama tempoh 2 tahun;
Dilantik semula pada 5hb Disember 2008selama tempoh 1 tahun;
Dilantik semula pada 5hb Disember 2009 selama tempoh 2 tahun; dan
Dilantik semula pada 5hb Disember 2011 selama tempoh 2 tahun.
YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG

Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, D.M.K., S.M.N., D.U.P.N., S.P.D.K., D.P., D.M.P.N., D.J.N., :-

Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 1hb. Mei 2001 selama tempoh 4 tahun;
Dilantik semula pada 1hb Mei 2005 selama tempoh 4 tahun;
Dilantik semula pada 1hb Mei 2009 selama tempoh 2 tahun;
Dilantik semula pada 1hb Mei 2011 selama tempoh 2 tahun; dan
Dilantik semula pada 1hb Mei 2013 selama tempoh 2 tahun.
YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil bin Yaakob, S.M.N., D.U.N.M., S.U.M.Z., S.J.M.K., S.S.A.P., P.S.M., S.I.M.P., S.P.D.K., D.P., D.S.A.P., J.S.M., S.M.P., G.C.O.M. (GER):-

Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 4hb. Jun 2004 selama tempoh 4 tahun;
Dilantik semula pada 4hb Jun 2008 selama tempoh 4 tahun; dan
Dilantik semula pada 4hb Jun 2012 selama tempoh 4 tahun.
YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin, S.M.N., S.P.D.K., P.G.D.K., P.J.N., A.S.D.K., J.P. :-

Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 1hb. Januari 2011 selama tempoh 4 tahun




* Tugas ini dijalankan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dianggotai oleh :-


Pengerusi  

Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, DKH., DMK., SPMK.,  SSDK., PSM., PSB., (Tunku Bendahara Kedah Darul Aman)

Ahli

(i) Tunku Tan Sri Dato' Seri Diraja Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, SHMS., SSDK., PSM.,PAT.,BCK., KPK., (Tunku Temenggong Kedah)

(ii) Yang Teramat Mulia Dato' Seri DiRaja Tunku Abdul Hamid Thani ibni Almarhum Sultan Badlishah (Tunku Laksamana Kedah)

(iii) Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah, DKH.,DKYR., SHMS., SSDK., PSM., PAT., JP., Hon.Ph.D (UUM)., Hon.PhD(KUIN)

berkuatkuasa mulai 12.12.2011

Sumber :- Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu