Friday, May 31, 2013

Tuanku Abdul Halim Solat Jumaat Di Masjid Negara

31 Mei 2013, Jumaat :-

Tengahari tadi Syah ke Masjid Negara untuk Solat Jumaat dan kebetulan hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah menunaikan Solat Jumaat di Masjid Negara. Turut mengiringi baginda adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Sempena sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 01 Jun 2013, Khutbah Jumaat hari ini disampaikan oleh  Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan tajuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Paksi Kekuatan Ummah.


Sumber :- MBS

Tuanku Fauziah Ziarah Pesakit Di HTF

31 Mei 2013, Jumaat :-

Semalam Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid telah berkenan mencemar duli menghadiri Program Lawatan Mahabbah ke Hospital Tengku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis. Dalam majlis ini Tuanku Fauziah telah berkenan menyampaikan sumbang kepada para pesakit ketika menziarahi mereka di wad masing-masing.Turut serta mengiringi baginda adalah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sumber :- Bernama

Tuanku Abdul Halim Hadiri Majlis Tahlil dan Doa Selamat Sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong

31 Mei 2013, Jumaat :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli menghadiri majlis Tahlil dan Doa Selamat sempena sambutan Hari Keputeraan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 01 Jun 2013. Majlis yang diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, pegawai-pegawai tinggi kerajaan serta para jemaah lainya.

Sumber :- Bernama

Thursday, May 30, 2013

Raja Azmi Disamun

30 Mei 2013, Khamis :-

Seorang kerabat diraja Perak dan juga merupakan seorang penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman telah disamun oleh dua orang lelaki bermotosikal berhampiran Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2013. Kejadian berlaku pada jam 00:30hrs (12:30 tengah malam) ketika Raja Azmi dalam perjalanan menuju ke kenderaan beliau setelah selesai menghadiri satu majlis perkahwinan di hotel berkenaan. Ketika berada kira-kira 20 meter dari kenderaanya, beliau telah didatangani oleh dua orang lelaki bermotosikal.  Salah seorang dari suspek telah menolak beliau kedinding di kaki lima hotel dan cuba merampas beg tangannya.  Berlaku sedikit pergelutan dan Raja Azmi menjerit untuk meminta tolong. Suspek kemudiannya menutup mulut Raja Azmi dan menamparnya menyebabkan bibir Raja Azmi pecah. Apabila melihat orang ramai datang memberi bantuan suspek telah melarikan diri dan hanya sempat merampas telefon pintar Samsung Galaxy II yang dipegang oleh Raja Azmi ditangan kanannya.

Raja Azmi dalam kenyataannya bershukur kerana beliau tidak mengalami kecederaan serius dan memaklumkan bahawa ini adalah kejadian yang pertama berlaku dalam hidupnya. Beliau telah membuat laporan Polis di Balai Polis Dang Wangi dan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,000.00.

Sila click link berhubung penceraian Raja Azmi  Penceraian Raja Azmi dan Jailani

Sumber :- Kosmo

Wednesday, May 29, 2013

Sultan Brunei Raikan Presiden Singapura Dalam Majlis Persantapan Negara

29 Mei 2013, Rabu :-


Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenan meraikan Presiden Republik Singapura dalam Majlis Persantapan Negara yang diadakan di Istana Nurul Iman. Presiden Dr, Tony Tan Keng Yam dan isteri, Tan Keng Yam serta rombongan berada di Brunei Darussalam untuk lawatan rasmi negara selama tiga hari bermula semalam 28 Mei 2013. 

Turut berangkat ke majlis ini adalah Putera Mahkota Brunei dan juga merupakan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah (Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan) dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah,  YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan).
Sumber :-Pelita Brunei

Sunday, May 26, 2013

Tak Dapat Update Blog


26 Mei 2013, Ahad :-

Sebentar lagi Syah hendak bertolak ke Sunway kerana bertugas untuk Program Jasamu Dikenang sehingga hari Rabu ini bersamaan 29 Mei 2013 dan dukacita dimaklumkan Syah  tidak dapat update blog sehingga hari berkenaan. Insyallah jika ada kelapangan Syah akan cuba update blog dan jika tidak berkesempatan kita berjumpa lagi pada hari Khamis 30 Mei 2013.  Terima kasih Syah ucapkan diatas sokongan anda semua kepada tengkusyah.blogspot.com. Tanpa anda semua siapalah tengkusyah.blogspot.com. Sehingga berjumpa lagi dilain Entry.........Tungguuuuu.

Tuanku Abdul Halim Rasmikan Pelancaran Citrawarna 1Malaysia



26 Mei 2013, Ahad :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis pelancaran Citrawarna 1Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan penuh kemeriahan dan berwarna-warni. Citrawarna 1Malaysia merupakan satu program promosi pelancungan yang menampilkan kebudayaan rakyat Malaysia diadakan setiap tahun dalam bulan Mei dan "Visit Malaysia Year 2014 - Celebrating 1Malaysia Truly Asia telah dipilih sebagai tema Citrawarna 1Malaysia bagi tahun 2013. Citrawarna 1Malaysia menampilkan 15 segmen termasuk eko-pelancongan, pelancongan sukan, Magic of the Night, Mega Endang Citrawarna dan tarian Cuti-Cuti Malaysia.

Turut serta mengiringi baginda dalam majlis ini adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun serta Menteri Pelancungan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Dianggarkan kira-kira 100,000 orang pelancung tempatan dan asing serta 248 peserta MegaFarm dari 23 negara termasuk Brunei, Thailand, Kemboja, Jerman, New Zealand dan Kanada menyaksikan majlis pelancaran Citrawarna 1 Malaysia malam tadi. Majlis bermula sekitar jam 17:00hrs dan hujan renyai-renyai tidak menjadi penghalang kepada para pengunjung untuk menyaksikan upacara pelancaran Citrawarna 1Malaysia.

Sumber :- Bernama /Utusan Malaysia

Kes Merompak Dengan Cara Pukau Dilaporkan Di Bukit Chandan

Istana Kuning, Kuala Kangsar
26 Mei 2013, Ahad :-

Terbaca di Facebook Raja Nur Jannah Hidran pagi ini yang memaklumkan adanya kes pukau di Bandar Diraja Kuala Kangsar terutamanya di sekitar Bukit Chandan.  Kepada penduduk Kuala Kangsar terutamanya di sekitar Bukit Chandan Syah harap mereka berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kepada individu yang tidak bertanggungjawab ini.  Maklumat yang Syah ambil daripada Facebook Kak Engku (Raja Nur Jannah Hidran) untuk kita kongsi bersama adalah seperti berikut :-


Khabarnya di Bukit Chandan ada dua orang perempuan menaiki motosikal merompak orang-orag kampung dengan cara pukau. Beberapa cubaan berlaku di sekitar Jalan Raja Muda dan kawasan Istana Kuning, malah beberapa warga tempatan telahpun menjadi mangsa.

modus operandi: Dua wanita ini akan mengunjungi rumah-rumah di Chandan dan memberi salam kepada tuan rumah. Bila salam bersambut dan mereka berjaya masuk ke dalam rumah, penghuni rumah dipukau.

HATI-HATI YA, DAN PASTIKAN PINTU RUMAH BERKUNCI UNTUK MENGELAKKAN SEBARANG KEMUNGKINAN. BERDOALAH MOGA KITA DILINDUNGI OLEH ALLAH S.W.T.

Sumber : Raja Nur Jannah Hidran

Saturday, May 25, 2013

Tengku Mahkota Pahang Sempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang

25 Mei 2013,Sabtu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang,Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-82. Istiadat diadakan di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.  Kelihatan Tengku Mahkota Pahang mengurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato' kepada Dato' Rahim Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pengurusan Belanjawan Kementerian Kewangan.

Sumber :- Bernama

TMJ Buat Kenyataan Akhbar Berhubung Insiden Lebihan Penonton


Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim sewaktu sesi Sidang Akhbar di Istana Pasir Pelangi semalam.

25 Mei 2013, Sabtu :-

Semalam Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang juga merupakan Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim telah mengadakan satu majlis sidang akhbar di Istana Pasir Pelangi di Johor Baharu berhubung insiden lebihan penonton sewaktu perlawanan Liga Super diantara Johor DT dan Kelantan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 22 Mei 2013 lepas. Pada hari kejadian, PBNJ telah memperuntukkan 100 tiket untuk penyokong pasukan The Red Warior tetapi jumlah penyokong yang masuk melebihi daripada yang diperuntukkan menyebabkan ada penyokong The Red Warrior duduk ditempat penyokong Johor DT.  Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti pergaduhan diantara mereka, pihak pengurusan stadium terpaksa menyusun atur semula kedudukan penonton menyebabkan perlawanan tertangguh.

Dalam titahnya, baginda memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup masuk penonton secara haram ataupun penonton yang menggunakan tiket palsu. Pihak baginda mendapati ada tiket-tiket palsu yang tidak mempunyai nombor siri pada hari kejadian dan pihak polis sedang melakukan penyiasatan berhubung perkara ini. Titah baginda lagi,  dimasa hadapan anggota-anggota polis akan ditempatkan dipintu masuk stadium untuk memastikan tidak  berlaku sebarang penipuan dan  pihak yang menjaga stadium akan disingkirkan jika mereka tamak untuk mendapatkan keuntungan dengan cara yang salah.

Baginda juga memaklumkan bahawa PBNJ bersedia menghadapi apa juga bentuk hukuman yang mungkin dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia atau FAM ekoran insiden perlawanan tertunda pada 22 Mei lepas.  Baginda juga menzahirkan kekesalan baginda terhadap sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang selalu melaporkan perkara-perkara negative berkenaan PBNJ berbanding perkara-perkara positive mengenai PBNJ semenjak musim Liga Super bermula. Baginda juga memaklumkan bahawa pihak baginda bercadang untuk menaiktaraf Stadium Tan Sri Hassan Yunos bagi menampung kapisiti penonton yang lebih ramai lagi untuk tahun hadapan.

Baginda juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bersikap tegas dalam usaha membenteras rasuah dan sindiket bookie bolasepak yang melanda negara ini. Baginda sempat memberi pendapat mengenai saranan Khairy Jamaluddin berhubung  penubuhan jawatankuasa Integriti setiap pasukan bagi mengekang gejala mengatur perlawanan yang dilihat semakin berleluasa sekarang ini. Titah baginda :-

  • Shukur ada langkah-langkah positif diambil. Sebenarnya saya sudah lama tubuhkan jawatankuasa integriti  ini dan sejak saya mengambil alih PBNJ setahun lalu, saya juga selalu tegaskan mengenai bahaya rasuah dan kegiatan mengatur perlawanan. 

Tahniah diucapkan kepada Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim dan Johor DT kerana telah berjaya menewaskan pasukan The Red Warrior 2-0 dalam perlawanan 23 Mei 2013 yang lalu walaupun terdapat sedikit masalah kerana perlawanan terpaksa ditunda seketika.

Friday, May 24, 2013

Baginda Queen Elizabeth II Hadiri Jamuan Teh Diraja 2013 Sesi Pertama

24 Mei 2013, Jumaat :-

Pada 22 Mei lepas, baginda Queen Elizabeth II telah berkenan menghadiri majlis Jamuan Teh Diraja atau lebih dikenali sebagai Palace Garden Tea Party. Pada setiap tahun Istana Buckingham akan menganjurkan sekurang-kurangnya 4 sesi Palace Garden Tea Party dan ini merupakan majlis yang pertama bagi tahun 2013.  Mengikut jadual, tiga majlis akan diadakan di Istana Buckingham manakala satu lagi akan diadakan di Istana Holyroodhouse di Scotland. Hampir 10,0000 tetamu dijemput menghadiri setiap majlis yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat atas jemputan khas baginda Queen Elizabeth II. Tradisi ini bermula pada 1860an semenjak zaman pemerintahan Mendiang baginda Queen Victoria dan dikenali sebagai "Public Breakfast" walaupun ianya diadakan pada sebelah petang. Pada 1950an, bilangan majlis ini telah ditambah dari dua kepada tiga majlis setiap tahun dan sekarang ini sekurang-kurangnya empat kali setahun. Majlis  ini diadakan pada bulan Jun dan July setiap tahun tetapi dipercepatkan pada tahun ini sempena Sambutan Jubli Intan 60 tahun Pemerintahan Baginda Queen Elizabeth II pada 2012.


Para tetamu memasuki Istana Buckingham seawal jam 15:00hrs dan dibenarkan menikmati keindahan Taman Istana yang merupakan taman larangan dan tidak dibuka untuk lawatan kepada umum. Para jemputan dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman petang yang mewah tanpa had didalam khemah khas yang disediakan.  Kebiasaannya dalam setiap majlis disediakan sebanyak 27,000 cawan teh, 20,000 keping sandwich dan 20,000 potong kek dan pelbagai makanan dan minuman yang melibatkan seramai 400 orang kakitangan sokongan.

Baginda Queen Elizabeth II dan suami baginda,  Duke of Edinburgh keluar dari Istana Buckingham pada jam 16:00hrs dan setibanya baginda berdua di tangga Istana Buckingham, lagu kebangsaan dimainkan sebelum baginda berdua dan keluarga diraja turun ke taman untuk sesi beramah mesra dengan para jemputan khas berkenaan. Majlis berakhir jam 18:00hrs apabila baginda Queen Elizabeth II dan Duke of Edinburgh berangkat masuk ke Istana Buckingham.


Baginda Queen Elizabeth II dijadualkan akan menghadiri Jamuan Teh Diraja atau Palace Garden Tea Party untuk sesi seterusnya pada 30 Mei dan 06 Jun bertempat di Istana Buckingham manakala yang terakhir pada 02 July di Istana Holyroodhouse. Prince William tidak dapat menghadiri majlis pada kali ini atas sebab-sebab perkhidmatan di Anglesey manakala isteri baginda, Duchess of Cambridge atau Kate Middleton yang sedang sarat mengandung anak sulung menghadiri majlis ini buat kali kedua selepas bergelar kerabat diraja Britain. Seperti biasa Kate menjadi tumpuan para hadirin tampil anggun dengan kot sutera Marella bewarna Yellow Canary (Kuning yang menyerupai warna burung kenari) dari Emilia Wickstead berharga 1,285 pound yang dipadankan dengan aksesori topi  bewarna krim dari Jane Corbett dan anting-anting mutiara. Walau bagaimanapun pemerhati membuat komen bahawa topi berkenaan pernah dipakai oleh Kate pada tahun 2011 semasa menghadiri majlis Order of the Garter.

Gambar topi Kate Middleton semasa Jamuan Teh Diraja 2013 dan disebelah kanan adalah gambar Kate semasa menghadiri majlis Order of the Garter pada 2011.

Sumber :- RoyalCentral / Mail Online / Getty Image

Wednesday, May 22, 2013

Tuanku Muhriz Sempurnakan Majlis Angkat Sumpah Anggota EXCO Negeri Sembilan

22 Mei 2013, Rabu :-

Hari ini Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan menyempurkan Majlis Angkat Sumpah   Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan. Turut berangkat mengiringi baginda adalah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani bte Almarhum Tengku Besar Mahmud.  Dalam majlis yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti ini, Tuanku Muhriz menyampaikan watikah perlantikan dan menyaksikan 10 EXCO berkenaan menandatangani surat sumpah jawatan. Tuanku Muhriz dalam titah baginda mengucapkan tahniah kepada ahli EXCO yang telah dipilih dan berharap agar mereka berkhidmat sebagai satu  pasukan yang mantap dalam memajukan negeri.  Titah baginda lagi, ahli EXCO harus menjalankan amanah yang diberi, ikhlas dan telus dalam melaksanakan tugas mereka kepada masyarakat. Diantara titah baginda dalam majlis ini :-
  • Beta percaya dengan pelantikan ini juga, kamu akan memastikan segala kepentingan luar seperti kepentingan perniagaan akan dilepaskan kerana kedudukan yang diamanahkan ini bukan untuk disalahgunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 05 Mei 2013 lepas, Barisan Nasional telah memenangi 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan dan telah mendapat mandat dari rakyat Negeri Sembilan untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri. ADUN N27 Rantau, Dato' Seri Mohamad Hassan telah mendapat perkenan daripada Tuanku Muhriz untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun yang akan datang. Tahniah diucapkan kepada semua YB yang terpilih sebagai EXCO Negeri Sembilan.

Sumber :- Bernama /MBS / BH Online

Minuman Herba Beyh Untuk Istana Johor


22 Mei 2013, Rabu :-

Pernahkah anda mendengar mengenai minuman herba Beyh yang berasal dari Negeri Johor Darul Takzim.  Sebenarnya satu ketika dahulu minuman ini merupakan Minuman Selamat Datang atau "Welcome Drink" untuk tetamu Diraja yang berkunjung ke Istana Besar Johor Baharu semasa era pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Daeng Ibrahim yang terkenal dengan panggilan Bapa Johor Moden dan merupakan Sultan Johor pertama era Moden yang memerintah pada 13 Februari 1886 hingga 04 Jun 1895. Kini minuman ini  telah di komersialkan dan bukan sahaja untuk santapan tetamu di Istana Johor tetapi untuk dinikmati oleh golongan korporat dan masyarakat umum. Minuman ini dibuat menggunakan teknik pemeraman dengan himpunan herba dan rempah ratus yang terdapat dinegeri Johor seperti kulit kayu manis, buah pelaga, cengkih, bunga lawang, limau purut dan daun pandan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sedang menikmati minuman herba Beyh sewaktu Majlis Rumah Terbuka di Istana Pasir Pelangi, Johor Baharu, Johor pada 20 Ogos 2012.

Minuman ini merupakan resipi asal daripada permaisuri Almarhum Sultan ABu Bakar, Almarhumah Sultanah Khatijah Hanum dan kemudiannya diperturunkan kepada adinda baginda iaitu  Datin Roquaiya Hanim dan seterusnya kepada  kepada Datin Salmah Ambak yang mana kedua-dua wanita ini merupakan isteri kepada Menteri Besar Johor pertama, Dato' Jaafar Muhammad (Datuk kepada Allahyarham Tun Hussien Onn, Perdana Menteri Malaysia ketiga).  Resipi ini kemudiannya diperturunkan kepada Rahmah Abdul Rahim atau Endau yang kemudiannya dikomersialkan oleh anaknya Kurshiah Harun dengan jenama Beyh Royale .

Sumber :- Kesultanan Johor / Utusan Online 2009

Tuanku Syed Sirajuddin Rasmikan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis

22 Mei 2013, Rabu :-


Semalam Raja Negeri Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis. Bangunan lima tingkat yang terletak di Jalan Santan, Kangar, Perlis ini dibina dengan kos RM10.3 juta pada tahun 2008 dan siap pada 2010.  Bangunan ini mula diduduki pada Ogos 2011. Turut serta mengiringi Tuanku Syed Sirajuddin adalah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Sumber :- Bernama / Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis

Tuesday, May 21, 2013

Raja Dr. Nazrin Shah Rasmikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah

21 Mei 2013, Selasa :-

Hari ini Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan mencemar duli merasmikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah yang telah dinaik taraf.  Perasmian ini adalah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Azlan Shah ke-85.  Projek menaik taraf lapangan terbang ini bermula 13 April 2011 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 01 November 2012. Kerja-kerja menaik taraf ini merangkumi pelebaran ruang Balai Perlepasan dan Balai Ketibaan, penyediaan tempat duduk baharu di Balai Perlepasan, Balai Ketibaan dan ruang daftar masuk serta pemasangan sistem pendingin hawa di Balai Perlepasan, Balai Ketibaan dan Balai Perhimpunan Awam. Kerja-kerja naik taraf ini juga melibatkan pemanjangan  landasan daripada 1,798 meter kepada 2,000 meter dan pelebaran kawasan meletak kenderaan komersial.

Turut serta mengiringi baginda dalam majlis ini adalah DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim ;  DYAM Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar bin Raja Muda Musa ; DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nor Mahani bt Raja Shahar Shah ; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir ; Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato' Aziz Karpawi dan Pengarah Urusan Malaysia Airport Holding Berhad, Tan Sri Bashir Ahmad.

Sumber :- Bernama / Utusan Online

Pengiran Muda Mahkota Brunei Sampaikan Pingat-Pingat Kehormat Negara Brunei Darussalam



21 Mei 2013, Selasa :-

Hari ini dan semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Brunei telah berkenan mengurniakan Pingat-Pingat Kehormat Negara Brunei Darussalam kepada  pegawai dan kakitangan kerajaan sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-66. Baginda yang kini berada di Chiang Mai, Thailand untuk menghadiri 2nd Asia Pacific Water Summit telah diwakili oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah untuk majlis ini. Turut serta dalam majlis yang berlangsung di Balai Singahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman  adalah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Pengiran-Pengiran Peranakan, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Diplomat-Diplomat Asing dan pegawai-pegawai kerajaan. Tahniah diucapkan kepada semua penerima Pingat-Pingat Kehormat Negara Brunei Darussalam.

Sumber : Jabatan Penerangan Brunei / Pelita Brunei

Monday, May 20, 2013

Tengku Puteri Nor Zehan Terima Sumbangan RM80,000.00 Bagi Pihak Make A-Wish Malaysia


20 Mei 2013, Isnin :-

Hari ini Tengku Puteri Nor Zehan binti Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang merupakan Penaung Make A-Wish Malaysia telah menerima sumbangan sebanyak RM80,000.00 daripada Yayasan Maybank. Replika cek telah disampaikan kepada Tengku Puteri Nor Zehan dalam satu majlis oleh Pengerusi Maybank,Tan Sri Megat Zaharuddin Mohd Nor.  Turut serta dalam majlis ini adalah Pengerusi Make A-Wish Malaysia, Datin Sharifah Farah Gumash Syed Hussain Al-Medhwahi.

Untuk mengetahui apa itu Make A-Wish Malaysia sila click link berikut  Make A-Wish Malaysia

Sumber:- Bernama

Bakal Suami Princess Madeleine of Sweden Tidak Akan Dikurniakan Sebarang Gelaran Diraja

20 Mei 2013, Isnin :-

Chris O'Neill yang merupakan tunang kepada Her Royal Highness Princess Madeleine of Sweden telah memilih untuk kekal sebagai warga negara Amerika Syarikat berikutan perkahwinannya dengan pewaris tahta keempat Sweden berkenaan. Satu kenyataan telah dikeluarkan dalam portal perkahwinan mereka menyatakan bahawa Chris telah menolak untuk menjadi warga negara Sweden dan beliau tidak akan dikurniakan sebarang gelaran diraja dalam keluarga diraja Sweden. Apabila berkahwin nanti beliau tidak dibenar menggunakan gelaran yang sepatutnya digunakan oleh suami kepada Princess Madeleine iaitu Prince of Sweden, Duke of Gastrikland and Halsingland. His Excellency Svante Lindqvist, Marshall of the Realm of Sweden Sveriges riksmarskalkn dalam kenyataannya pada 17 Mei lepas memaklukan "Mr. Christopher O'Neill has respectfully asked to remain a private citizen and not be granted royal status".

Princess Madeleine diputerikan pada 10 Jun 1982 di Istana Drottningholm dan diberi nama Madeleine Therese Ameline Josephine.  Beliau merupakan puteri bongsu kepada Raja Sweden, His Majesty King Carl XVI dan Her Majesty Queen Silvia.  Princess Madeleine bertugas di New York, Amerika Syarikat sebagai pengurus projek World Childhood Foundation manakala Chris merupakan Ketua Penyelidik di syarikat pelaburan Noster Capital.

Sumber :- Hello Daily News

Sunday, May 19, 2013

Raja Perlis Menaiki Kereta Kuda Menghadiri Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat

19 Mei 2013, Ahad :-


Petang tadi Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah berkenan mencemar duli berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat sempena sambutan hari keputeraan baginda yang ke-70. Majlis yang diadakan di Bukit Ketri, Padang Besar ini turut dihadiri oleh Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid ; Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ; Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.  Uniknya majlis pada hari ini adalah dimana Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis bersama-sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis berangkat ke majlis ini dengan menaiki kereta kuda khas.

Dalam majlis ini juga, baginda telah berkenan menerima replika cek berjumlah RM3,000.00 bagi pihak Majlis Kebajikan Masyarakat yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis atau MAIPs. Replika cek disampaikan oleh Abdul Malik Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs. Dalam majlis yang sama juga Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan Pingat Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Bakri Ibni yang sekarang berusia 59 tahun.

Bernama :- Bernama

Raja Nazrin Hadiri Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Taat Setia Simpan Rahsia EXCO Perak



19 Mei 2013, Ahad :-

Semalam 18 Mei 2013, Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Taat Setia Simpan Rahsia Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak telah selamat disempurnakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Perak.  Istiadat telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Turut serta menghadiri istiadat ini adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim ; Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Bagan Datoh,  Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi ; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Sumber :- Bernama

Tuanku Syed Sirajuddin Terima Hadiah Daripada Cucunda Sempena Hari Keputeraan Ke-70

19 Mei 2013,Ahad :-

Sempena sambutah hari Keputeraan Raja Perlis yang ke-70 pada 17 Mei 2013 lepas, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail begitu terharu dan gembira apabila mendapat hadiah istemewa daripada cucunda lelaki baginda yang juga merupakan pewaris tahta kerajaan Negeri Perlis Indera Kayangan. Tuanku Syed Sirajuddin menerima hadiah berupa replika kereta daripada Syed Sirajuddin Areeb ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra. Syed Sirajuddin Areeb merupakan putera sulung kepada Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis. Syed Sirajuddin Areeb diputerakan pada 12 April 2009 di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis. Kelihatan baginda begitu gembira menerima hadiah daripada cucunda baginda sambil diperhatikan oleh DYMM Raja Perempuan Perlis, DYTM Raja Muda Perlis, DYTM Raja Puan Muda Perlis dan  puteri-puteri kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra iaitu  Sharifah Katreena Nurainah dan adindanya Sharifah Farah Adriana.

Sumber :- Bernama/The Royalark

Sultan Pahang Hadiri Majlis Respesi Adam dan Dr Zuraini

19 Mei 2013, Ahad :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah berkenan mencemar duli menghadiri majlis resepsi perkahwinan Adam Abdul Aziz dan Dr Zuraini Mohd Nasir di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.  Turut serta dalam majlis ini adalah Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil bin Yaakob, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.  Pengantin lelaki merupakan anak kepada Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia atau MUBARAK iaitu Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.  Tan Sri Abdul Aziz pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Pahang .

Sumber :- Bernama

Friday, May 17, 2013

Sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Yang Ke-70


17 Mei 2013, Jumaat :- 

Sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis ke-70 hari ini, Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail mahukan agar rakyat mengukuhkan ikatan perpaduan yang menjadi asas utama kearah mengekalkan Negara berdaulat dan tidak perlu memanjangkan pertelagahan  mengenai fahaman politik masing-masing selepas pilihan raya umum ke-13.  Tuanku Syed Sirajuddin berharap agar  projek pembangunan yang dirancang untuk Perlis mencapai sasaran termasuk projek pelaburan seperti Taman Teknologi Pauh Putra, Perlis Halal Park, depot pelepasan darat serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana yang mempunyai impak ekonomi yang tinggi. Begitu juga usaha untuk menjadikan Perlis sebagai hab pendidikan perlu dipergiatkan termasuk menambah institusi pengajian tinggi seperti mewujudkan Kolej Universiti Islam Perlis dan Kolej Risda. Tambah baginda lagi, kerajaan negeri harus memberi fokus terhadap pembangunan projek tenologi hijau yang mesra alam termasuk penghasilan diesel menggunakan plastik terbuang dan pelaksanaan projek taman solar di bekas pusat pelupusan sampah Kuala Perlis.

Titah ini disampaikan oleh baginda pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Perlis sempena hari keputeraan baginda di Istana Arau, Arau, Perlis.  Diantara titah baginda titah baginda :-
  • "Kita haruslah bersatu, berkongsi kesusahan dan meraikan kesenangan yang membanggakan negara secara bersama.
  • Pepatah Melalu yang menyebut 'kuah sama dihirup, sambal sama dicolek' adalah releven bagi menyatakan tentang perpaduan rakyat di negara ini,"

Mufti Besar Perlis, Dr Junada Jaya dianugerahkan Darjah Dato' Bergelar yang membawa gelaran Dato' Murshid Diraja.

Dalam istiadat hari ini seramai 22 orang menerima darjah kebesaran negeri perlis dan seramai 207 orang telah disenarikan untuk menerima darjah dan pingat kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-70 bagi tahun 2013. Istiadat pengurniaan seterusnya dijadual berlangsung pada bulan Jun ini.

Turut berangkat dalam majlis ini adalah Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid ;  Raja Muda Perlis, DYTM  Tuanku Syed Faizuddin ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ; Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Sumber :- Bernama

Hari Keputeraan Ke-70 DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

17 Mei 2013, Jumaat :-




Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Tahniah
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

Raja Bagi Negeri Perlis dan Segala Jajahan Takluknya
Sempena
Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-70

"Semuga Allah Merahmati Tuanku"

Sembah Takzim Daripada


Prince Maharum Bugis Syah
MAHARUM BUGIS SYAH

Thursday, May 16, 2013

Yang di-Pertuan Agong Hadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri

16 Mei 2013, Khamis :-

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri di Istana Negara.  Istiadat yang diadakan di Balairong Seri, Istana Negara pada jam 10:10hrs ini turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun ;  Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rousmah Mansor ;  Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dif-dif kehormat dan para jemputan yang terdiri daripada ahli keluarga barisan kabinet yang dilantik.

Istiadat dimulai dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 1. Beliau kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa. Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menjalani istiadat ini, enam menteri kanan pula mengambil giliran untuk mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta simpan rahsia masing-masing yang terdiri daripada Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air).  Kumpulan ini diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Seterusnya, acara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi menteri dan timbalan menteri dijalankan secara berkumpulan seramai enam orang dimulai dengan Datuk Seri Douglas Uggah Embas (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Dr S. Subramaniam (Menteri Kesihatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (Menteri Kewangan II).


Kumpulan kedua pula terdiri daripada Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar), empat Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Joseph Entulu Belaun, dan Datuk Rohani Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). Istiadat diteruskan dengan kumpulan Datuk Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), Datuk Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Richard Riot Jaem (Menteri Sumber Manusia), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Kumpulan terakhir terdiri daripada  Datuk Paul Low Seng Kwan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Nancy Shukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi). Istiadat kemudiannya diteruskan untuk 24 orang timbalan menteri.  Setelah istiadat selesai, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan mencemar duli untuk menghadiri sesi bergambar bersama barisan kabinet 2013.


Istiadat Mengangkat Sumpah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia telah disempurnakan pada 06 Mei 2013 selepas Barisan Nasional mendapat mandat rakyat untuk meneruskan kesinambungan mentadbir negara. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang diadakan pada 05 Mei 2013, Barisan Nasional menang 133 daripada 222 kerusia Parlimen yang dipertandingkan.  Pagi semalam Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan  baginda berhubung senarai barisan kabinet Persekutuan yang baru dan pada sebelah petangnya pula lebih kurang jam 17:00hrs, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat pengumuman secara langsung keseluruh Negara berhubung senarai barisan kabinet berkenaan.

Sumber :- Bernama

Wednesday, May 15, 2013

Perdana Menteri Mengadap Yang di-Pertuan Agong Untuk Mendapatkan Perkenan Barisan Kabinet Baru

Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur
15 Mei 2013, Rabu :-

Perdana Menteri Malaysia yang amat kita kasihi, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah selamat tiba ke Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 11:55hrs tadi untuk mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah untuk memohon   perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi Barisan Kabinet Persekutuan yang baru selepas Barisan Nasional mendapat mandat rakyat untuk menyambung kesinambungan pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 05 Mei 2013. Kenderaan rasmi Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat meninggalkan Istana Negara setengah jam kemudian. Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan membuat pengumuman Barisan Kabinet baru beliau pada petang ini di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Kabinet transformasi pilihan Perdana Menteri ini akan mengabungkan muka baru dan berpengalaman. Bersama-samalah kita nantikan petang ini pengumuman yang akan dibuat secara langsung melalui siaran TV jam lima petang. Besar harapan kami sebagai rakyat Malaysia agar mereka yang dipilih nanti menunaikan tanggungjawab mereka demi pembangunan negara dan perpaduan diantara kaum tanpa mengutamakan  agenda diri sendiri. 

Sumber :- Bernama/MBS/Berita TV1

Tiga Sebab Mengapa Sultan Selangor Perkenankan Perlantikan Menteri Besar Selangor Selepas PRU ke-13

15 Mei 2013, Rabu:-

Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah memberikan tiga sebab mengapa baginda memperkenankan perlantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baru selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 05 Mei 2013. Kenyataan ini dikeluarkan melalui Seiausaha Sulit baginda, Dato' Mohamad Munir Bani. Tiga sebab berkenaan adalah seperti berikut :-
  • Ketua-ketua parti komponen Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP mengemukakan hanya satu nama sahaja iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon Meneri Besar Selangor.
  • Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah memenuhi semua syarat-syarat yang diperlukan bagi jawatan Menteri Besar Selangor seperti mana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Selangor 1959.
  • Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaberpendapat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah menjadi Meneri Besar Selangor sebelum ini  dan pengalamannya boleh membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.
Berhubung isu kelewatan perlantikan Menteri Besar Selangor adalah kerana DYMM  Sultan Selangor masih menunggu calon-calon Menteri Besar daripada Pakatan Rakyat. Tambah beliau lagi, sebelum ini Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menyatakan sebelum pilihan raya bahawa menteri besar tidak semestinya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jika Pakatan Rakyat menang dalam PRU ke-13 di Selangor.  Akhirnya DYMM Sultan Selangor telah berpuas hati dan memperkenankan calon tunggal yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat sebagai Meneri Besar Selangor iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Tahniah Syah ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas perlantikan ini. Tak kira apapun fahaman parti politik kita, kita semua harus menghormati YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Ketua Kerajaan Negeri kerana itu pilihan rakyat Selangor dan kita harus menghormati keputusan PRU ke-13.  Apa yang penting sekarang ini kita orang Melayu sebagai bumiputera harus bersatu hati demi bangsa, agama dan negara kerana bersatu kita teguh bercerai kita roboh dan jangan biarkan orang lain memandang rendah dan menindas bangsa kita kerana kita adalah penduduk asal Negara ini begitu juga kaum-kaum lain yang diiktiraf sebagai bumiputera. Gunakan hak yang ada pada kita untuk menjadi bangsa yang dihormati dan disegani di negara tumpah darah kita sendiri.  Hidup MELAYU.

Sumber :- Bernama /MBS

Tuesday, May 14, 2013

Istiadat Mengangkat Sumpah dan Membaca Ikrar Akujanji Menteri Besar Selangor Dihadapan Sultan Selangor


14 Mei 2013, Selasa :-

Pagi tadi telah diadakan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Membaca Ikrar Akujanji  Menteri Besar Selangor di Balairong Seri Istana Alam Shah, Klang, Selangor. Istiadat berlangsung lebih kurang jam 10:10hrs dihadapan Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.  Dalam istiadat ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  telah menandatangani Aku Janji Menteri Besar Selangor dengan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Mohamad Zabidin Mohd Diah sebagai saksi. Dengan ini, Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal yang kedua. Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin memaklumkan antara yang hadir dalam majlis ini adalah kerabat-kerabat diraja dan ketua-ketua jabatan berkaitan kerajaan manakala ADUN Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional tidak hadir dalam istiadat ini.


Kelihatan Tan Sri Abdul Khalid  memegang sebatang tombak yang matanya berbalut kain kuning, turut melafazkan 10 Aku janji Jawatan Menteri Besar untuk dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya. Tombak ini bernama "Sang Buana" dan merupakan lambang kuasa baginda Sultan. Ini merupakan istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar  paling unik di Malaysia sempena PRU ke-13.

Aku janji itu termasuk akan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara, memelihara dan melindungi kesucian serta keagungan agama Islam sebagai agama negeri, mematuhi kedaulatan institusi Raja dan mempertahankannya daripada digugat oleh mana-mana pihak serta melaksanakan tugas beliau dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas. Menteri besar juga berjanji untuk memelihara keistimewaan orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, mendahulukan rakyat selagi ia tidak menjejaskan kepentingan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri; memelihara hubungan baik kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain dalam Persekutuan serta memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah dan kerjasama antara kaum.

Sumber :- Malaysiakini/Berita Harian Online/Bernama

Menteri Besar Johor Mengangkat Sumpah Dihadapan Sultan Johor

14 Mei 2013, Selasa :-

Pagi tadi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di hadapan Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Baharu, Johor. Turut serta dalam majlis ini adalah Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.  Datuk  Seri Mohamed Khaled Nordin merupakan ADUN N43 Permas memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,752 undi mengalahkan calon dari PAS, Syed Othman Abdullah (BN 23,952 undi dan PAS 18,200 undi)

Sumber :- Kesultanan Johor/Bernama/Ismail Woon/Berita Harian

Monday, May 13, 2013

Tan Sri Abdul Khalid Mengadap Sultan Selangor Petang Tadi

13 Mei 2013, Isnin :-

Petang tadi  Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah menerima mengadap ADUN N46 Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  di Istana Kayangan, Shah Alam, Selangor. Seorang pegawai di sekretariat akhbar Menteri Besar Selangor memaklumkan kepada Bernama bahawa Tan Sri Abdul Khalid akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua sekaligus memberi jawapan kepada silang kata siapakah yang akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas PRU ke-13. Majlis Istiadat Penyerahan Watikah Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar akan diadakan dihadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada esok pagi di Istana Alam Shah, Klang Selangor. 

Kelihatan para wartawan mengerumuni kenderaan beliau dihadapan pintu masuk Istana Kayangan selepas mengadap DYMM Sultan Selangor. Pada PRU ke-13 yang diadakan pada 05   Mei 2013 lepas, Tan Sri Abdul Khalid daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalahkan Datuk  Nasarruddin M Zain daripada Barisan Nasional dengan majoriti 2,994 undi (PKR 18,591 undi dan BN 15,597 undi). Daripada 56 kerusi yang dipertandingkan bagi DUN  Selangor, BN memenangi 12 kerusi manakala Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP memenangani 44 kerusi (PKR-14, DAP-15 dan PAS-15).

Sumber :- Bernama

Sultan Terengganu dan YamTuan Negeri Sembilan Perkenan Perlantikan Menteri Besar Masing-Masing


13 Mei 2013, Isnin :-

Pada Sabtu lepas bersamaan 11 Mei 2013, Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dan Sultan Terenganu telah berkenan menghadiri majlis Istiadat Penyerahan Watikah Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar masing-masing. Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah memperkenankan perlantik Dato' Seri Mohamad Hasan yang berusia 57 tahun sebagai Menteri Besar yang baru untuk penggal yang ketiga semenjak 2004. Istiadat yang diadakan pada jam 10:56hrs di Istana Besar Seri Menanti ini turut dihadiri oleh Duli  Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah bte Almarhum Tengku Besar Mahmud ;  Undang Luak Sungai Ujong, YTM Dato' Mubarak Dohak ; Undang Luak Jelebu, YTM Dato' Musa Wahab ; Undang Luak Johol, YTM Dato' Mohd Jan Abdul Ghani dan Undang Luak Rembau, YTM Dato' Muhamad Sharip Othman.


Manakala Sultan Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah memperkenankan perlantikan Dato' Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal yang kedua. Istiadat dijalankan di Istana Maziah, Kuala Terengganu, Terengganu.

Sumber :- Berita Harian

Friday, May 10, 2013

Sultan Selangor Sampaikan Watikah Perlantikan Wali Raja Negeri Selangor

10 Mei 2013, Jumaat :-

Hari ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan menyampaikan Watikah Perlantikan Wali Raja Negeri Selangor kepada Abdul Malek Ramli daripada Pejabat Agama Daerah Klang dalam satu majlis yang diadakan di Istana Kayangan, Shah Alam, Selangor. Wali Raja Negeri Selangor merupakan Wali yang ditaulahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dalam hal Negeri Selangor, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.

Sumber :- Bernama/ Warta Kerajaan Negeri Selangor- Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)