Monday, December 2, 2013

Tuanku Abdul Halim Kurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Di Istana Negara

Tunku Datuk Dr Sofiah Tunku Md Jewa menerima darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk daripada Tuanku Abdul Halim.


02 Disember 2013, Isnin :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan kepada 156 orang penerima sempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 01 Jun lepas. Istiadat diadakan di Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' mendahului senarai penerima darjah dalam istiadat pada kali ini. Turut menerima darjah PSM ialah Pengerusi Kumpulan Alloy MTD, Tan Sri Dr Nik Hussain Abdul Rahman dan bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Safri Awang Zaidell. 

Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk' dikurniakan kepada 10 orang penerima. Antara penerima hari ini ialah Peguam bela dan Peguam cara yang juga merupakan sepupu kepada Tuanku Abdul Halim,  Tunku Datuk Dr Sofiah Tunku Md Jewa. Tunku Datuk (dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia) juga merupakan penulis kepada buku "The Return" iaitu buku biografi mengenai Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-5 dan Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14

Dalam istiadat ini juga,  Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan darjah Johan Setia Mahkota (JSM) kepada 21 orang penerima, darjah Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 27 orang penerima, Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 37 orang penerima, Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada 51 orang penerima dan Bentara Setia Diraja (BSD) kepada tiga orang penerima.

Sumber :- Bernama/MBS

No comments: