Wednesday, October 30, 2013

Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Puan Zanariah Iskandar Dermakan Elaun Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Kepada Yayasan Sultan Iskandar

30 Oktober 2013, Rabu :-

Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail merupakan Sultan Johor ke-4 era moden dan Yang di-Pertuan Agong ke-8.  Almarhum dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8 untuk tempoh lima tahun bermula 24 April 1984 hingga 25 April 1989. Tahukah anda bahawa sewaktu Almarhum Sultan Iskandar menjadi Ketua Negara Malaysia, baginda dan YAM Tunku Puan Zanariah Iskandar telah mendermakan kesemua elauan baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong  untuk tempoh lima tahun yang berjumlah RM3.8 juta kepada Yayasan Sultan Iskandar.

Yayasan Sultan Iskandar merupakan sebuah syarikat berhad yang telah diperbadan dan didaftarkan pada 21 Ogos 1984. Yayasan ini ditubuhkan bagi menganjurkan tujuan-tujuan khairat dan kebajikan seperti yang dinyatakan dalam MOA ("Memorandum of Association").  Objektif utama Yayasan Sultan Iskandar adalah untuk mewujudkan dan mengekalkan dana untuk digunakan bagi tujuan-tujuan berikut:-
  1. Kemajuan pendidikan daripada semua jenis bidang yang diiktiraf oleh sistem pendidikan di Malaysia.
  2. Mengukuh, menjaga dan mentadbir dana biasiswa untuk memajukan moral, intelektual dan pendidikan fizikal serta kebajikan kepada pelajar-pelajar yang sepatutnya menerima dan memerlukan.
  3. Memberi anugerah biasiswa untuk pengajian pra ijazah dan lepas ijazah.
  4. Meringankan beban si miskin dan yang terdesak oleh umur, keuzuran, kurang bernasib baik, tidak terdaya menjaga diri dan tanggungan khasnya balu-balu dan anak-anak yatim.
  5. Menaja mereka yang memerlukan pertolongan daripada segi moral, tujuan sosial atau kebajikan.
  6. Membantu mangsa kebakaran, banjir, kebuluran, takdir tuhan atau lain-lain bencana.
  7. Meringankan kesengsaraan seterusnya meningkatkan taraf hidup manusia dengan memerangi, merawat dan melindungi daripada kesakitan atau keuzuran mahupun penyakit melalui peruntukan perubatan, kemudahan pembedahan dan perkhidmatan.
  8. Memberi bantuan dan meringankan dengan apa jua cara dan hubungan kepada institusi kebajikan.
  9. Memberi, membangun dan meningkatkan semua jenis sukan tetapi tidak terhad kepada memberi padang permainan, kawasan rekreasi dan kemudahan sukan untuk orang awam semata-mata.
Sumber :- Kesultanan Johor / Yayasan Sultan Iskandar

No comments: