Friday, August 23, 2013

YTM Paduka Seri Duli Leftenan Pengiran Muda ’Abdul Mateen Hadiri Taklimat Projek Pembinaan Kapal Peronda DARUTTAQWA

23 Ogos 2013, Jumaat :-

Semalam, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Leftenan Pengiran Muda ’Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat menghadiri  taklimat projek pembinaan kapal terbaru Tentera Laut Diraja Brunei iaitu Kapal Peronda DARUTTAQWA di Bilik Persidangan, Park Hotel, Bremen, Jerman. Taklimat disampaikan oleh Ketua Pemerhati Projek Laut, Leftenan Kolonel (Laut) Azlan bin Haji Ahmad.
Selepas taklimat, Leftenan Pengiran  Muda ‘Abdul Mateen telah menghadiri Majlis Pelancaran dan Penamaan Kapal Peronda DARUTTAQWA di limbungan Syarikat Pembina Kapal Luerssen, Berne, Niedersachsen, Jerman, Selepas itu  Leftenan Pengiran  Muda ‘Abdul Mateen berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari yang dianjurkan oleh Pengarah Urusan Syarikat Pembina Kapal Luerssen.
Turut serta dalam taklimat ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Pehin Datu Panglima Kolonel (Bersara) Dato Paduka Haji Abdul Jalil bin Haji Ahmad, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar, Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Halim bin Haji Mohd. Hanifah, serta Pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang lain. 
Kolonel (L) Pengiran Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad  dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Pembinaan Kapal Peronda DARUTTAQWA ini adalah untuk melengkapkan lagi aset-aset Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) disamping dapat mempertingkatkan lagi liputan kawasan rondaan dan rutin rondaan.  Ianya juga akan dapat mempertingkatkan  tahap pelaksanaan tugas-tugas Tentera Laut Diraja Brunei seperti  operasi, latihan dalam mahupun luar negara dan juga pemeliharaan kapal-kapal. Tambah beliau lagi, fungsi utama kapal peronda ini adalah untuk menjadi kapal latihan bagi anggota-anggota ataupun bakal-bakal pegawai dan anggota TLDB. Kapal ini  juga  mempunyai perubahan dari segi struktur dalaman bagi menampung anggota-anggota latihan dimana terdapat ruang untuk dijadikan bilik kuliah dan penambahan tempat tidur peserta.
Sumber :- Pelita Brunei

No comments: