Wednesday, August 28, 2013

Sultan Brunei Hadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran YSHHB

28 Ogos 2013, Rabu :-
Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1434 Hijriah/2013 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. Keberangkatan tiba baginda dan rombongan disambut oleh  Menteri Pendidikan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB, Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Sambutan tahun ini.
Turut mengiringi baginda adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.
Majlis  dimulai dengan bacaan Surah Al-Faatihah dan doa selamat oleh Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned diikuti  sembah alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.  Selepas itu Tuanku Sultan menyampaikan titah baginda. Dalam majlis ini juga Tuanku Sultan  telah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Klip Video “Raja Yang Prihatin” anjuran YSHHB serta menyaksikan tayangan klip-klip video bagi lima kategori yang dipertandingkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013. Seramai 150 pelajar-pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah membuat persembahan dalam majlis ini.
Baginda Sultan dan kerabat diraja kemudiannya beramah mesra dan menjamu selera dengan para tetamu sebelum berangkat menyaksikan pameran-pameran teknologi info-komunikasi (ICT) serta mendengar taklimat ringkas daripada para peserta yang mengambil bahagian dalam pameran ini yang terdiri daripada beberapa buah Syarikat Telekomunikasi, syarikat-syarikat ICT, sekolah/maktab serta beberapa buah syarikat/persatuan ICT yang berkaitan. Baginda juga telah melancarkan produk aplikasi ICT yang dihasilkan oleh ‘Media Hikmah Applications’.
Sumber :- Pelita Brunei / Jabatan Penerangan Brunei

No comments: