Monday, July 29, 2013

Tunku Zain Hadiri Majlis Iftar Cinta Ramadhan

29 Julai 2013, Isnin :-

Semalam, Yayasan Kanser Malaysia telah mengadakan majlis berbuka puasa yang dikenali sebagai Majlis Iftar Cinta Ramadhan yang berlangsung di Hotel Radius International Kuala Lumpur di Jalan Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur.  Majlis ini ditaja sepenuhnya oleh Hotel Radius International Kuala Lumpur untuk meraikan pesakit-pesakit kanser dan kaum keluarga mereka. Tetamu kehormat dalam majlis ini adalah YAM Tunku Zain Al'Abidin Ibni Tuanku Muhriz.  Kekanda Tunku Zain iaitu YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz merupakan Penaung Diraja bagi Yayasan Kanser Malaysia.

Kelihatan YAM Tunku Zain berkenan menyerahkan cenderahati berupa hamper kepada pesakit-pesakit bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Majlis ini dihadiri oleh seramai 70 orang tetamu yang terdiri daripada bekas pesakit kanser, pesakit kanser, wartawan dan kerabat diraja Selangor, Perak dan Perlis.

Yayasan Kanser Malaysia ditubuhkan pada Mac 2013 telah diasaskan oleh pengerusinya sendiri iaitu Saudara Royzilee. Ada kisah menarik mengenai saudara Royzilee ini seperti yang diceritakan oleh Engku Isa al-Husam yang merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kanser Malaysia kepada Syah.  Menurut Husam, Royzilee merupakan bekas pesakit kanser otak. Selepas menjalani pembedahan beliau berada dalam keadaan koma selama setahun dan setelah sedarkan diri beliau mengalami masalah hilangan ingatan pula selama setahun juga. Sekarang beliau telah sembuh dan bersama-sama Yayasan ini untuk melakukan kerja-kerja amal sepenuh masa. 

 Sumber :- Husam

No comments: