Tuesday, June 18, 2013

Tuanku Abdul Halim Rasmikan Kampus MSU


18 Jun 2013, Selasa :-

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli berangkat merasmikan Kampus Universiti Pengurusan dan Sains (MSU - Management and Science University) di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, Selangor.  Kampus bernilai RM600 juta ini dibangunkan menerusi tiga fasa. Fasa pertama siap pada 2010 melibatkan tiga blok utama iaitu Dewan Canselor, menara akademik dan menara sains.  Fasa kedua siap pada Januari 2012,  meliputi bahagian pengurusan dan pentadbiran manakala fasa ketiga melibatkan pembinaan hospital dan kemudahan penginapan pelajar dijadualkan siap pada akhir 2015.

MSU pada asalnya merupakan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Latihan (PTPL) yang ditubuhkan pada 1981 dan kemudiannya telah pesat berkembang kepada 10 cawangan.  PTPL kemudiannya dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) pada tahun 2001 dan merupakan kolej universiti swasta pertama di tubuhkan di Malaysia. Pada tahun 2007, KUPTM telah dinaik taraf menjadi Universiti dengan nama Management and Science University. 

Turut serta dalam majlis ini adalah Canselor MSU, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agung, Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun ; Pengerusi MSU, Prof Datuk Mohd Shukri Ab Yajid dan Pro Canselor MSU, Tan Sri Wan Mohd zahid Mohd Noordin. Pada malam esok pula akan diadakan Konsert  Menjunjung Kasih Sempena Majlis Pelancaran MSU yang dipersembahkan oleh Okestra MSU bertempat di Dewan Canselor MSU.

Sumber :- Bernama /MSU

No comments: