Sunday, May 26, 2013

Tuanku Abdul Halim Rasmikan Pelancaran Citrawarna 1Malaysia



26 Mei 2013, Ahad :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis pelancaran Citrawarna 1Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan penuh kemeriahan dan berwarna-warni. Citrawarna 1Malaysia merupakan satu program promosi pelancungan yang menampilkan kebudayaan rakyat Malaysia diadakan setiap tahun dalam bulan Mei dan "Visit Malaysia Year 2014 - Celebrating 1Malaysia Truly Asia telah dipilih sebagai tema Citrawarna 1Malaysia bagi tahun 2013. Citrawarna 1Malaysia menampilkan 15 segmen termasuk eko-pelancongan, pelancongan sukan, Magic of the Night, Mega Endang Citrawarna dan tarian Cuti-Cuti Malaysia.

Turut serta mengiringi baginda dalam majlis ini adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun serta Menteri Pelancungan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Dianggarkan kira-kira 100,000 orang pelancung tempatan dan asing serta 248 peserta MegaFarm dari 23 negara termasuk Brunei, Thailand, Kemboja, Jerman, New Zealand dan Kanada menyaksikan majlis pelancaran Citrawarna 1 Malaysia malam tadi. Majlis bermula sekitar jam 17:00hrs dan hujan renyai-renyai tidak menjadi penghalang kepada para pengunjung untuk menyaksikan upacara pelancaran Citrawarna 1Malaysia.

Sumber :- Bernama /Utusan Malaysia

No comments: