Friday, May 24, 2013

Baginda Queen Elizabeth II Hadiri Jamuan Teh Diraja 2013 Sesi Pertama

24 Mei 2013, Jumaat :-

Pada 22 Mei lepas, baginda Queen Elizabeth II telah berkenan menghadiri majlis Jamuan Teh Diraja atau lebih dikenali sebagai Palace Garden Tea Party. Pada setiap tahun Istana Buckingham akan menganjurkan sekurang-kurangnya 4 sesi Palace Garden Tea Party dan ini merupakan majlis yang pertama bagi tahun 2013.  Mengikut jadual, tiga majlis akan diadakan di Istana Buckingham manakala satu lagi akan diadakan di Istana Holyroodhouse di Scotland. Hampir 10,0000 tetamu dijemput menghadiri setiap majlis yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat atas jemputan khas baginda Queen Elizabeth II. Tradisi ini bermula pada 1860an semenjak zaman pemerintahan Mendiang baginda Queen Victoria dan dikenali sebagai "Public Breakfast" walaupun ianya diadakan pada sebelah petang. Pada 1950an, bilangan majlis ini telah ditambah dari dua kepada tiga majlis setiap tahun dan sekarang ini sekurang-kurangnya empat kali setahun. Majlis  ini diadakan pada bulan Jun dan July setiap tahun tetapi dipercepatkan pada tahun ini sempena Sambutan Jubli Intan 60 tahun Pemerintahan Baginda Queen Elizabeth II pada 2012.


Para tetamu memasuki Istana Buckingham seawal jam 15:00hrs dan dibenarkan menikmati keindahan Taman Istana yang merupakan taman larangan dan tidak dibuka untuk lawatan kepada umum. Para jemputan dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman petang yang mewah tanpa had didalam khemah khas yang disediakan.  Kebiasaannya dalam setiap majlis disediakan sebanyak 27,000 cawan teh, 20,000 keping sandwich dan 20,000 potong kek dan pelbagai makanan dan minuman yang melibatkan seramai 400 orang kakitangan sokongan.

Baginda Queen Elizabeth II dan suami baginda,  Duke of Edinburgh keluar dari Istana Buckingham pada jam 16:00hrs dan setibanya baginda berdua di tangga Istana Buckingham, lagu kebangsaan dimainkan sebelum baginda berdua dan keluarga diraja turun ke taman untuk sesi beramah mesra dengan para jemputan khas berkenaan. Majlis berakhir jam 18:00hrs apabila baginda Queen Elizabeth II dan Duke of Edinburgh berangkat masuk ke Istana Buckingham.


Baginda Queen Elizabeth II dijadualkan akan menghadiri Jamuan Teh Diraja atau Palace Garden Tea Party untuk sesi seterusnya pada 30 Mei dan 06 Jun bertempat di Istana Buckingham manakala yang terakhir pada 02 July di Istana Holyroodhouse. Prince William tidak dapat menghadiri majlis pada kali ini atas sebab-sebab perkhidmatan di Anglesey manakala isteri baginda, Duchess of Cambridge atau Kate Middleton yang sedang sarat mengandung anak sulung menghadiri majlis ini buat kali kedua selepas bergelar kerabat diraja Britain. Seperti biasa Kate menjadi tumpuan para hadirin tampil anggun dengan kot sutera Marella bewarna Yellow Canary (Kuning yang menyerupai warna burung kenari) dari Emilia Wickstead berharga 1,285 pound yang dipadankan dengan aksesori topi  bewarna krim dari Jane Corbett dan anting-anting mutiara. Walau bagaimanapun pemerhati membuat komen bahawa topi berkenaan pernah dipakai oleh Kate pada tahun 2011 semasa menghadiri majlis Order of the Garter.

Gambar topi Kate Middleton semasa Jamuan Teh Diraja 2013 dan disebelah kanan adalah gambar Kate semasa menghadiri majlis Order of the Garter pada 2011.

Sumber :- RoyalCentral / Mail Online / Getty Image

No comments: