Thursday, April 11, 2013

Muzium Diraja Kedah

11 April 2013, Khamis -

Ini adalah Muzium Diraja Kedah yang terletak di Bandar Alor Setar, Kedah.  Pada mulanya bangunan ini merupakan istana lama keluarga diraja Kedah. Suatu ketika dahulu istana ini pernah dikenali dengan pelbagai nama diantaranya Istana Kota Setar, Istana Mak Wan Besar, Istana Pelamin atau Rumah Pelamin. Istana ini dibina sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azzam Shah II (1710-1778) dan siap sepenuhnya pada 1735 sempena pembukaan Alor Setar sebagai pusat pentadbiran Negeri Kedah yang ke-8.  Semasa era penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu, ianya pernah digunakan oleh Tentera Jepun dan selepas perang dunia kedua berakhir istana ini dijadikan ibu pejabat beberapa pertubuhan sebelum dibiarkan tanpa perhatian sehingga pada 1983, ianya telah dibaikpulih dan dijadikan Muzium Diraja sempena dengan perayaan menyambut Jubli Perak pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan dirasmikan oleh baginda pada 25 Julai 1983. Diantara koleksi Muzium Diraja terdiri daripada koleksi DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Koleksi KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim serta koleksi yang diperoleh daripada kerabat Diraja Negeri Kedah.  

Jika anda ke Alor Setar sudi-sudikan melawat Muzium Diraja ini dan masuk adalah percuma.  Waktu melawat bermula jam 09:00hrs - 17:00hrs kecuali hari Jumaat ianya ditutup sementara dari jam 12:30hrs - 14:30hrs. Muzium ini dibuka setiap hari kecuali pada Hari Raya Aidilfitri (hari pertama) dan Hari Raya Aidiladha. Lokasi Muzium Diraja ini adalah berhadapan dengan Masjid Zahir dan dikawasan ini juga terdapatnya Balai Besar dan Balai Nobat.  Balai Besar dan Balai Nobat tidak dibuka untuk lawatan dan ianya dibawah pentadbiran Istana Negeri Kedah.

Sumber :- Muzium Negeri Kedah.

No comments: