Thursday, March 21, 2013

Tuanku Zarith Sofiah Hadiri Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Mengarang Buku Bergambar Kanak-Kanak 2012

21 Mac 2013, Khamis :-

Hari ini Isteri Kepada DYMM Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Mengarang Buku Bergambar Kanak-Kanak 2012.  Pertandingan ini bermula pada November 2012 hingga Januari 2013 dan sebanyak 99 karya telah diterima sepanjang pertandingan ini dijalankan.  Tempat pertama dimenangi oleh Jainal Amambing dari Sarawak melalui karyanya 'Ambau' dan membawa pulang RM3,000.00.  Tempat kedua, Nurul Nadiah Mohamad Basiron dari Johor membawa pulang RM2,000.00 melalui karyanya 'Bayang-Bayang' dan tempat ketiga memperolehi RM1,000.00 dimenangi oleh Mohd Norazmi Mohd  Mokhtar melalui karyanya 'Tapir dengan kotak ajaib'. 

Tuanku Zarith Sofiah telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan melawat pameran yang diadakan.  Selain daripada hadiah wang tunai, para pemenang telah diberikan tropi,  sijil penghargaan serta tiket penerbangan dan penginapan ke Pesta Buku Kanak-Kanak di luar negara serta Asian Festival of Children's Content 2013 di Singapura.  Dalam titah baginda, Tuanku Zarith Sofiah menyatakan bahawa usaha berterusan perlu digembeling agar perkembangan sastera kanak-kanak lebih tersusun dari segi penulisan, pengkaryaan dan penerbitannya. Tambah Tuanku lagi, usaha yang murni ini akan lebih bermanfaat sekiranya promosi besar-besaran diadakan bagi memertabatkan sastera kanak-kanak dikalangan masyarakat Malaysia.

Sumber :- Bernama

No comments: