Sunday, March 3, 2013

Seorang Lagi Anggota Keselamatan Kita Dilaporkan Terkorban Di Semporna

03 Mac 2013, Ahad :-

BERNAMA dalam laporannya pagi ini memaklumkan seorang lagi anggota Polis telah terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh dari Selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah malam tadi. Kejadian dilaporkan berlaku di Kampung Selamat, Semporna, Sabah iaitu kira-kira 150 kilometer dari Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, Lahat Datu yang telah mengorbankan dua anggota Komando polis VAT 69 iaitu Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud (dinaikkan pangkat selepas meninggal dunia) serta mencederakan tiga yang lain manakala 12 orang daripada penceroboh turut terbunuh.  Menurut pihak Polis, Pertempuran jam 20:00hrs malam tadi turut mencederakan seorang anggota polis. Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan kejadian ini kepada BERNAMA tetapi  tidak mengulas lanjut kerana identiti kedua-dua anggota keselamatan berkenaan belum lagi dikenal pasti. Difahamkan bahawa kumpulan penceroboh ini merancang untuk menyerang Balai Polis Lahad Datu.

Angkatan Tentera Malaysia dan Polis harus mengambil tindakan segera untuk mengawal keadaan dan menjalankan mandat yang telah diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera supaya mengambil sebarang tindakan  terhadap penceroboh negara dan tidak berkompromi lagi. Kami sentiasa mendoakan agar pihak Polis dan ATM sentiasa dilindungi Allah dalam melaksanakan tugas mempertahankan kedaulatan negara dari dicerobohi oleh penceroboh dari Selatan Filipina yang mengelarkan diri mereka  Tentera Diraja Kesultanan Sulu.

Kemaskini :-

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memaklumkan seorang pegawai dan empat anggota polis telah terkorban malam tadi di Kampung Sri Jaya, Simunal, Semporna, Sabah.  Sepasukan Polis telah dihantar ke kawasan berkenaan untuk menyiasat aduan penduduk mengenai beberapa orang lelaki yang dilihat membawa senjata.  Apabila mereka sampai di kawasan berkenaan, mereka telah diserang dan ditembak oleh Penceroboh. Dua orang anggota Penceroboh dilaporkan telah terkorban dalam insiden ini-  Berita TV1

Setakat ini jumlah anggota keselamatan negara kita yang terkorban adalah tujuh orang.

Kemaskini :-

Jam 21:55hrs tadi TV 3 melaporkan seorang lagi Anggota Keselamatan kita dijumpai terkorban menjadikan jumlah mangsa yang terkorban dalam insiden malam tadi di Semporna adalah enam orang. Al-Fatihah dan Takziah.


Setakat ini jumlah anggota keselamatan negara kita yang terkorban adalah lapan orang.

Sumber :- Bernama / TV3.

No comments: