Monday, February 4, 2013

Sultan Brunei Hadiri Acara Kemuncak Regata Brunei Darussalam 2013

04 Februari 2013, Isnin :- 

Petang semalam Sultan Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien telah berkenan mencemar duli berangkat ke Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan  bagi menghadiri acara-acara kemuncak dan acara khas Regata Brunei Darussalam  2013.  Turut berangkat sama adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Dalam majlis ini Tuanku Sultan telah menandatangani plak Dermaga Diraja Bandar Seri Bagawan sebelum berangkat ke jeti Dermaga Diraja untuk turut serta menyertai Lumba Perahu Khas (Fibre Glass 15 pekayuh).  Pasukan baginda yang terdiri daripada ahli jawatankuasa "A" telah menjadi juara dalam kategori ini manakala tempat kedua dimenangi oleh pasukan AJK "B" yang diketuai oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah manakala tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri. 

Selepas menyertai perlumbaan berkenaan, Tuanku Sultan telah dibawa melawat Pameran Imbasan Kembali Regata 1930 hingga 2012. Setelah selesai melakukan lawatan, baginda berangkat ke Pentas Diraja bagi menyaksikan acara-acara perlumbaan yang dipertandingkan dalam acara kemuncak semalam iaitu Lumba Perahu Fibre Glass - 20 pengkayuh jemputan, Lumba Bot Laju F1 (M.U. Carburettor 20 pusingan) dan lumba Jet Ski 4 Stroke (terbuka). Selepas itu, baginda menaiki perahu khas untuk upacara melepaskan perlumbaan bagi acara Lumba Perahu Tradisi 30 pekayuh Marathon di Kuala Sungai Lumpas. Setelah selesai acara, baginda berkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang dalam acara Lumba Perahu Khas (Perahu Fibre Glass 15 Pekayuh), Lumba Perahu Fibre Glass - 20 Pekayuh Jemputan, Lumba Bot Laju F1 (M.U.Carburettor 20 Pusingan), Lumba Jet Ski 4 Stroke (Open), Lumba Perahu Tradisi 20 Pekayuh Terbuka dan Lumba Perahu Tradisi - 30 Pekayuh Marathon.

Regata Brunei Darussalam (RBD) 2013 telah mendapat sambutan hangat berdasarkan pertambahan dalam bilangan peserta bagi semua kategori yang dipertandingkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.   RBD 2013 juga telah menarik minat peserta-peserta dari kawasan Teluk Brunei untuk menyertainya pada tahun ini. Acara tahunan ini dilihat berpotensi untuk dimajukan bukan sahaja dalam aspek kesukanan tetapi juga sebagai satu daya tarikan kepada produk pelancung asing. Acara tahun ini juga telah dimeriahkan dengan pesta jualan produk kampung dan pameran sejarah Regata Brunei Darussalam. RBD 2013 telah menghidupkan kembali nostalgia dan kenangan silam Lumba Perahu era 50an, 60an dan 70an dengan kemeriahan perairan Sungai Brunei dengan acara-acara yang dipertandingkan.

Sumber :- Pelita Brunei

No comments: