Monday, January 28, 2013

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani

28 Januari 2013, Isnin :- 

Ini adalah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani binti Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Akazul Khairi Waddien merupakan puteri tunggal Almarhumah Tengku Ampuan Raihani binti Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor) bersama Sultan Brunei, Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin  ibni Almarhum Sultan Muhammad Jamalul 'Alam II.  Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani sekarang menetap di Brunei dan berkahwin dengan sepupunya Tengku Pengiran bin Tengku Abdul Aziz.  Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin, Tengku Ampuan Raihani bersama Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani telah menetap di Kuching, Sarawak untuk beberapa ketika sebelum berangkat pulang dan menetap di negeri kelahirannya iaitu Selangor Darul Ehsan. 

Nama sebenar Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani yang diberikan oleh Ayahandanya adalah Pengiran Anak Puteri Niswanil Ehsanil Burniah.  Menurut Tengku Pengiran, Burniah itu merujuk kepada perkataan "Borneo" yang satu ketika dahulu merupakan sebahagian dari jajahan negara Brunei Darussalam.  Nama Nor Ehsani pula digunakan semenjak beliau menetap agak lama di Selangor bersama bondanya selepas kemangkatan Sultan Ahmad Tajudin sebelum beliau dan suami menetap semula di Brunei. Pengiran Anak Hajah Noor Ehsani dan keluarganya menetap di Kampung Sungai Hanching, Jalan Muara, Brunei. Di Brunei, Pengiran Anak Hajah Nor Ehsani sering terlibat dalam majlis-majlis rasmi di Brunei dengan mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.  Pengiran Anak Puteri Hajah Noor Ehasani sekarang berusia  77 tahun.

Berkenaan nama suami Pengiran Anak Hajah Nor Ehsani  iaitu Tengku Pengiran tentu ramai yang berasa hairan mengapa ada perkataan Tengku dan ada Pengiran pula.  Mereka sebenarnya adalah sepupu dan merupakan cucunda Sultan Selangor, Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah.  Semasa rombongan Diraja Brunei sampai di Selangor untuk Majlis Istiadat Perkahwinan diantara Sultan Ahmad Tajuddin dan Tengku Ampuan Raihani pada tahun 1934, isteri Tengku Tengku Abdul Aziz iaitu Tunku Mardiah yang merupakan puteri kepada Sultan Kedah telah melahirkan seorang putera di Kedah.  Perkara ini telah disembahkan kepada Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah untuk mendapatkan perkenan baginda  memberikan nama kepada putera berkenaan.  Disebabkan kebanyakan dari ahli rombongan diraja Brunei terdiri daripada Pengiran-Pengiran, baginda telah menggunakan nama Pengiran itu untuk cucunda baginda makan dinamakan putera itu Tengku Pengiran bin Tengku Abdul Aziz.  

Jodoh, Ajal, Maut dan Pertemuan ditanggan Allah, Putera kecil yang diberi nama Tengku Pengiran akhirnya bertemu jodoh dengan Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani dan menjadi menantu kepada Sultan Brunei.  Semasa ingin mendaftar kad pengenalan ketika menetap di Brunei, pihak pendaftaran keliru dengan nama beliau, Tengku Pengiran dan beliau telah ditanya ............. Pengiran apa?  Jabatan Pendaftaran tidak tahu  sebenarnya Pengiran itu adalah nama beliau bukan gelaran.  Untuk mengelakkan kekeliruan di Brunei, nama beliau telah didaftarkan dengan meletakkan sekali nama ayahanda beliau  menjadi  Tengku Pengiran Abdul Aziz bin Tengku Orang Kaya Menteri Abdul Aziz Shah. Beliau dikenali sebagai Tengku Pengiran Abdul Aziz bukan Tengku Pengiran.

Entry Syah terdahulu mengenai Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani :-
http://tengkusyah.blogspot.com/2011/01/ytm-paduka-seri-pengiran-anak-puteri.html

Sumber :- Pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin 1924-1950 / Naneng

No comments: