Saturday, January 19, 2013

Tuanku Abdul Halim Kurniakan Suratcara Perlantikan Anggota LPPR dan JKMR

19 Januari 2013, Sabtu - 


Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan menerima mengadap anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR)  di Istana Negara.  Dalam majlis ini juga, Tuanku Abdul Halim telah berkenan mengurniakan suratcara perlantikan kepada Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahin sebagai anggota LPPR dan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff sebagai anggota JKMR.  Perlantikan Tunku Abdul Aziz sebagai anggota LPPR berkuatkuasa 14 September 2012 hingga 25 Februari 2015 manakala perlantikan Mohd Yusmadi sebagai anggota JKMR berkuatkuasa mulai 24 Februari 2012 hingga 25 Februari 2015.

Tunku Abdul Aziz yang merupakan kerabat diraja Kedah merupakan anggota Dewan Rakyat kawasan Balik Pulau, Pulau Pinang dari PKR dan bekas Presiden dan Pengasas Transparency International Malaysia (TI-M) serta timbalan pengerusi Transparency International (TI).  Perlantikan ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan peruntukan Seksyen 14(2) Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.  Turut serta dalam majlis ini adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaafar dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Shukri Abdull.

LPPR berfungsi menasihati SPRM tentang apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia, menasihati suruhanjaya tentang dasar dan strategi suruhanjaya dalam usahanya membenteras rasuah, menerima dan meneliti cadangan daripada suruhanjaya ke arah perjalanan cekap dan berkesan suruhanjaya, meneliti keperluan sumber suruhanjaya untuk memastikan keberkesanannya serta meneliti laporan tahunan suruhanjaya sebelum dikemukakan kepada JKMR. Manakala JKMR berfungsi menasihati perdana Menteri berhubung apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia, memeriksa laporan tahunan suruhanjaya serta mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan suruhanjaya dan ulasan LPPR.

Sumber :- Bernama

No comments: