Tuesday, January 1, 2013

Pusat Pentadbiran Johor Dipindahkan Dari Teluk Belangah Ke Johor Baharu

01.01.2013, Selasa - Tahukah anda pada tarikh 01 Januari 1866 Bandar Tanjong Puteri didalam negeri Johor telah ditukar namanya kepada Johor Baharu.  Sebelum ini pusat pentadbiran kerajaan Johor berpusat di Teluk Belangah, Singapura dan mulai tarikh berkenaan Johor Baharu telah dijadikan sebagai Ibu Negeri dan Pusat Pentadbiran Johor yang baru.  Keputusan mengalihkan pusat pentadbiran baru ini adalah atas inisiatif Maharaja Johor ketika itu, Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor 1 yang kemudiannya bergelar Sultan Sir Abu Bakar ibni Almarhum Daing Ibrahim. Baginda mengambil keputusan ini kerana kedudukan strategik Tanjong Puteri untuk dijadikan pusat pentadbiran dan perniagaan.  Baginda telah berjaya dalam misi dan visi baginda membangunkan Johor Baharu sehingga menjadi pusat pentadbiran dan perniagaan tersohor dengan mengadaptasi corak pentadbiran pihak Inggeris dalam mentadbir Johor Baharu.  Semasa pemerintahan baginda juga pejabat-pejabat dan jabatan-jabatan kerajaan mula ditubuhkan diantaranya Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Audit, Mahkamah Besar, Pejabat Percetakan Kerajaan, Jabatan Kerja Raya, Polis, Pejabat Ukur, Pejabat Tanah, Pejabat Pelajaran dan lain-lain.  Sehubungan dengan itu, gelaran BAPA JOHOR MODEN yang diberikan kepada baginda memang tepat sekali dan tak perlu dipertikaikan lagi.

Sumber :- Arkib Negara / Wikipedia

No comments: