Tuesday, September 18, 2012

Istiadat Perkahwinan Diraja Puteri Sultan Brunei Bermula

18.09.2012, Selasa - Istiadat perkahwinan puteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berlangsung pada 16 September lepas dengan penuh adat istiadat diraja Brunei didahului dengan Istiadat Bersuruh Diraja yang diadakan di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan. Anakanda Baginda Sultan Brunei iaitu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah akan disatukan dengan pasangannya Pengiran Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr. Haji Mohd Yakub. Gambar disebelah ini merupakan gambar lama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah yang ada dalam simpanan Syah

Dalam istiadat ini, Baginda Sultan Brunei telah berkenan menerima mengadap rombongan Bersuruh Diraja dan mengurniakan titah penerimaan lamaran Pengiran Haji Muhammad Ruzaini yang disembahkan oleh ayahndanya Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub. Keberangkatan tiba rombongan pihak lelaki yang diketuai oleh YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba'asith Pengiran Haji Apong di Pintu Besar, Istana Nurul Iman telah disambut  oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Wahab, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman dan Pegawai dari Pejabat Grand Chamberlain dan seterusnya.  Kemudiannya rombongan telah dibawa masuk ke Baitur Rahmah.

Setelah rombongan berada didalam Baitur Rahmah,  Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain memaklumkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Shaibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa majlis Istiadat Bersuruh Diraja akan dimulakan.  YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah memaklumkan kepada Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja untuk mengadap kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia dan seterusnya menjunjung Baginda Sultan Brunei berangkat masuk.

Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja kemudian menyembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah bahawa majlis Istiadat Bersuruh Diraja sudah siap sedia dan Baginda Sultan Brunei kemudiannya menitahkan supaya istiadat dimulakan.

Majlis ini diteruskan dengan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba'asith mengadap kehadapan Majlis Baginda Sultan diikuti oleh Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub bin Pengiran Haji Othman (sebelah kanan dalam gambar ini) bagi menyembahkan hajat dan hasrat keluarganya  untuk menyunting puteri Baginda Sultan Brunei.  Selepas itu, Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub berdatang sembah melahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih atas kurnia perkenan Baginda Sultan Brunei menerima beliau dan rombongan mengadap. Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub kemudian berdatang sembah untuk menyerahkan anaknya iaitu bakal pengantin Pengiran Haji Muhammad Ruzaini ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menyembahkan hajat rombongan tersebut.

Selesai sahaja kurnia titah perkenan Baginda Sultan Brunei , Pengiran Dr. Haji Mohd Yakub bagi pihak keluarganya kemudian menyembahkan ucapan menjunjung kasih kehadapan Majlis Baginda sebelum majlis selesai sepenuhnya.  Setelah majlis selesai, bacaan doa selamat telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Turut serta dalam majlis ini adalah Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Turut berangkat dalam majlis ini adalah YAM Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan-timbalan menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang dan Manteri-manteri Pendalaman, Duta-duta Besar, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi, Setiausaha-setiausaha Tetap, Ketua-ketua Jabatan serta para jemputan.



Sumber :- Pelita Brunei/Jabatan Penerangan Brunei

2 comments:

Rozita Ceritaita said...

mana gambar pengantinnya? teringin nak tengok...

tengkusyah said...

Insyallah jika berlangsung Majlis tu nanti Syah akan update blog.