Thursday, July 26, 2012

Sultan Selangor Hadiri Majlis Berbuka Puasa, Perasmian Masjid dan Sumbangan Hari Raya

26.07.2012, Khamis - Malam tadi Sultan Selangor, Duli Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul  Aziz Shah Alhaj telah berkenan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan penyampaian sumbangan Hari Raya serta Perasmian Masjid Kampung Pulau Meranti di Puchong, Selangor. Seramai 230 orang asnaf fakir dan miskin, 125 orang mualaf dan 136 anak-anak yatim menerima sumbangan berkenaan malam tadi daripada Tuanku Sultan Selangor. Dalam titahnya, baginda mahukan rakyat Selangor terutamanya yang berugama Islam bersatu padu dengan semangat persaudaraan yang kukuh dengan mengetepikan ideologi dan fahaman politik mereka yang berbeza.  

Baginda mahukan agar umat Islam menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat dan mengeratkan perpaduan diantara satu sama lain pada bila-bila masa terutamanya di bulan yang mulia ini supaya Islam dipandang tinggi dan dihormati oleh penganut-penganut agama lain. Baginda juga berharap agar ahli-ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri Selangor agar ikhlas dan bersih hati dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bagi memakmurkan masjid dan mengutamakan kepentingan masyarakat serta agama Islam.  Turut hadir dalam majlis ini adalah Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sumber :- Bernama

No comments: