Wednesday, February 29, 2012

Raja Muda Perak Sampaikan Sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah Kepada IJN dan MERCY Malaysia

29.02.2012, Selasa - Hari ini Raja Muda Perak Darul Ridzuan Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM500,000.00 bagi pihak Yayasan Sultan Azlan Shah kepada Institut Jantung Negara (IJN) dan Pertubuhan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia). Majlis diadakan di Istana Changkat, Kuala Lumpur. Sumbangan dalam bentuk cek berjumlah RM300,000.00 telah disampaikan kepada Tan Sri Dr Robaayah Zambahari, Ketua Pegawai Eksekutif IJN manakala Naib Presiden Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah menerima cek berjumlah RM200,000.00.

Tan Sri Dr Robaayah memaklumkan kepada Bernama bahawa sumbangan ini akan digunakan untuk perbelanjaan IJN dalam meneruskan kaedah 'MitraClip' bagi pesakit jantung yang mengalami kebocoran injap mitral. Beliau melahirkan rasa kesyukuran kerana dengan sumbangan ini IJN dapat membeli peralatan dan peranti baru bagi prosidur-prosidur berkenaan. Tambah beliau lagi, kaedah "MitraClip" digunakan kepada pesakit yang tidak boleh menjalani pembedahan atau berisiko tinggi menjalani pembedahan dimana satu klip akan dimasukkan disebelah kebocoran melalui satu sistem penyampaian yang dimasukkan melalui urat di pangkal peha.

Tahniah dan Terima Kasih diucapkan kepada Yayasan Sultan Azlan Shah diatas sumbangan yang diberikan kepada IJN dan Mercy Malaysia.

No comments: