Tuesday, February 14, 2012

Raja Dr Nazrin Shah Menyampaikan Titah Dalam Seminar Wakaf Penjana Pembangunan

14.02.2012, Selasa - Hari ini DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan menyampaikan titah dalam Seminar Wakaf Penjana Pembangunan yang diadakan di Sasana Kijang, Bank Negara. Dalam titahnya baginda menyelar sesetengah pihak yang tidak amanah menjalankan Dasar Ekonomi baru (DEB) sehingga dasar itu gagal dalam matlamatnya membantu orang Melayu dan umat Islam. Akibatnya matlamat mengimbangkan agihan ekuti dikalangan ummah gagal dicapai dan dasar yang diwujudkan kerajaan itu pula dipersalahkan.

Tambah baginda lagi, kajian menunjukkan enam peratus daripada kekayaan individu Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga dan hanya dua peratus sahaja dapat disalurkan ke generasi seterusnya. Sehubungan dengan itu baginda mengesyorkan agar satu mekanisme yang lebih berkesan perlu ada sebagai jaminan semua pegangan ekuiti Melayu Islam tidak cepat terhakis.

Baginda juga menzahirkan kekesalan terhadap segelintir individu yang bersifat "pagar makan padi" menyebabkan beberapa institusi yang diwujudkan kerajaan untuk menjaga kepentingan ummah menghadapi masalah hingga muflis atau terpaksa diselamatkan oleh pemerintah.

Titah baginda :- "Konsep wakaf korporat difikirkan sebagai satu alternatif yang berpotensi menggantikan kaedah sediada. Konsep yang sedang dirintis ini menyuntik pendekatan arus niaga bersandarkan roh Islam, berpegang kepada konsep iman dan takwa. Idea wakaf korporat sudahpun tercetus sejak dari beberapa tahun lepas dan pada zaman dahulu ia berperanan sebagai sumber ekuatan ekonomi ummah sehingga tidak perlu terlalu bergantung kepada dana kerajaan sehingga akhirnya ia bekubur akibat manipulasi penjajah".

Konsep ini telah terbukti kejayaanya melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation yang ditubuhkan pada 03.08.2006 yang dijadikan rujukan untuk diterima pakai di peringkat lebih luas. Menurut baginda lagi bagi membolehkan konsep ini berjaya, idea itu perlu diangkat untuk pertimbangan di Persidangan Majlis Raja-Raja Mac ini, selain mendapat sokongan ulama serta mendapatkan persefahaman diperingkat kerajaan persekutuan dan negeri manakala individu yang dipilih memegang amanah nanti terdiri daripada mereka yang menghayati semangat Fisabilillah.

Sumber :- Bernama

No comments: