Thursday, October 6, 2011

Sultan Kedah Menghadiri Istiadat Konvokesyen Ke-13 KUIN

06.10.2011, Khamis - Sultan Kedah KDYMM Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga merupakan Canselor Kolej Universiti Insaniah atau KUIN telah menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-13 KUIN semalam. Istiadat diadakan di Dewan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Kolej Universiti Insaniah, Mergong. Seramai 738 graduan menerima anugerah masing-masing yang melibatkan tiga penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Lima Ijazah Sarjana, 551 Ijazah Sarjana Muda dan 170 Diploma. Dalam titah ucapanya, baginda menyarankan agar graduan bertindak secara bijaksana dalam merancang, melaksana dan menilai secara hikmah perjuangan mereka bagi mencapai kemakmuran, kebajikan dan kelangsungan ummah.

Dalam istiadat ini juga, baginda telah berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Komuniti) kepada puteri tunggal baginda, Tunku Panglima Besar Kedah, YTM Dato' Seri Tunku Puteri Intan Shafinaz. Begitu juga dengan Juara Akademi al-Quran musim ketiga, Mohd Fakhrulradhi Khamarudin telah menerima anugerah Jaizah Imtiyaz Lembaga Pengarah KUIN sebagai menghargai kecemerlangannya dalam bidang akademik dan mengharumkan nama baik KUIN apabila menjadi Juara Akademi al-Quran dan penglibatan beliau dalam kumpulan nasyid Unic. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan Kepujian.

Tahniah diucapkan kepada graduan-graduan KUIN sempena Istiadat Konvokesyen Ke-13 Kolej Universiti Insaniah.

Nota - Gambar dari Bernama

No comments: