Sunday, October 9, 2011

Raja Perlis Rasmikan Masjid Terapung Al-Hussain

09.10.2011, Ahad - Malam tadi Raja Negeri Perlis DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah merasmikan Masjid Terapung Al-Hussain. Masjid ini terletak di Muara Sungai Perlis yang merupakan laluan masuk utama pelancung ke Pulau Langkawi. Kos pembinaannya menelan belanja lebih kurang 12 juta telah ditaja oleh seorang ahli perniagaan Tan Sri Mohd Ariffin Yusoff dan keluarganya. Masjid ini mempunyai dewan solat yang menganjur ke laut dan boleh memuatkan seramai 1,000 jemaah pada satu-satu masa dan dikatakan sebagai satu mercu tanda baru bagi Perlis.

Masjid Terapung Al-Hussain dilengkapi dengan menara berkembar yang akan menyalakan lampu biru ketika masuknya waktu Solat Subuh dan Maghrib, manakala lampu hijau bagi waktu Isyak sebagai panduan kepada orang ramai terutamanya para nelayan akan waktu-waktu solat. Dalam titah ucapan perasmiannya, baginda menyarankan agar pihak masjid mengadakan pelbagai aktiviti yang akan menarik minat generasi muda untuk ke Masjid. Titah baginda lagi pegawai masjid harus menjaga kebersihan dan keindahan masjid disamping berpegang teguh kepada amalan sunnah wal jamaah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Baginda juga menggalakkan pelbagai pihak menyumbang pembinaan masjid di Perlis bagi menambahkan lagi bilangan masjid yang setakat ini berjumlah 104 buah.

Turut serta mengiringi baginda dalam majlis ini adalah Raja Perempuan Perlis DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis Jafperi Othman.

Note : gambar dari Bernama

No comments: