Thursday, February 17, 2011

Gelaran Baru Sultanah Nora dan Sultanah Zanariah

Sultanah Zanariah Iskandar kini bergelar YAM Tunku Puan Zanariah Iskandar

17.02.2011, Khamis - Dengan Titah Perintah Sultan Johor Darul Takzim, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Gelaran Diraja bagi Bonda Tiri Baginda, Sultanah Zanariah Iskandar telah digantikan kepada Yang Amat Mulia Tunku Puan Zanariah Iskandar dan hendaklah dibahasakan sebagai TUNKU PUAN atau TUNKU sahaja dan bukannya TUANKU. Tunku Puan merupakan permaisuri kepada Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor Ke-4 Era Moden.


Sultanah Nora Ismail kini bergelar YAM Tunku Puan Nora Ismail

Begitu juga dengan Gelaran Diraja Nenda Tiri Baginda iaitu Sultanah Nora Ismail telah digantikan kepada Yang Amat Mulia Tunku Puan Nora Ismail dan hendaklah dibahasakan sebagai TUNKU PUAN atau TUNKU sahaja dan bukannya TUANKU. Tunku Puan merupakan permaisuri kepada Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Sultan Johor Ke-3 Era Moden.

Bonda Tiri dan Nenda Tiri Tuanku Sultan Johor iaitu YAM Tengku Puan Zanariah Iskandar dan YAM Tunku Puan Nora Ismail merupakan adik beradik iaitu puteri kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Ahmad Panglima Raja dari Kesultanan Kelantan Darul Naim. YBM Tengku Ahmad Panglima Raja adalah individu yang memahkotakan DYMM Sultan Ismail Petra sebagai Al-Sultan Kelantan pada hari pertabalan baginda pada tanggal 30.08.1980. 

Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar, Almarhum tidak pernah menggantikan gelaran Sultanah yang digunapakai oleh bonda tiri Baginda iaitu Tunku Puan Nora Ismail (Sultanah Nora Ismail). Tidak diketahui mengapa gelaran kepada kedua-dua individu ini diganti semasa pemerintahan Sultan Ibrahim, walau bagaimanapun DYMM Sultan Ibrahim sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Johor Darul Takzim dan Tanah Jajahannya mempunyai kuasa dalam perkara ini dan kita harus menghormati akur atas segala keputusan Baginda.

Kenyataan berhubung perkara ini telah dikeluarkan oleh Pihak Istana Johor melalui Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli hari ini.

No comments: