Monday, November 8, 2010

Datin Nik Rorhana Buat Laporan Polis - 08.11.2010

Tentu anda semua masih ingat kepada Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman yang telah memfailkan lafaz cerai Mantan Sultan Kelantan, DYMM Sultan Ismail Petra terhadap isteri kedua baginda, Elia Suhana Ahmad di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu, Kelantan pada 09.03.2010. Pada malam Sabtu lepas 06.11.2010, beliau telah membuat laporan polis pada jam 11:20pm berhubung penanguhan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu berhubung kes penceraian berkenaan yang sepatutnya diputuskan semalam (07.11.2010). Beliau mendakwa ada unsur-unsur campurtangan pihak tertentu dan penyalahgunaan kuasa dalam mempengaruhi Mahkamah untuk membuat keputusan.

Mengikut Datin, Hakim Mahkamah Syarie, Abdullah Man telah mengadap DYMM Sultan Ismail Petra pada 30.10.2010 di Istana Mahkota untuk mendengar sendiri pengakuan baginda berhubung lafaz cerai baginda terhadap isteri kedua baginda, Elia Suhana.

Beliau telah dimaklumkan oleh peguamnya dari Tetuan Zainul Talha dan Amnir bahawa telah menerima surat daripada Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu yang memaklumkan bahawa keputusan penghakiman berhubung lafaz cerai ini akan dibuat pada hari Ahad 07.11.2010.

Walau bagaimanapun pada 04.11.2010 peguam syarie beliau telah menerima surat yang ditandatangani oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu melalui fax memaklumkan bahawa keputusan penghakiman kes ini yang dijadualkan pada 07.11.2010 akan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Peguam beliau telah menelefon salah seorang pendaftar mahkamah berhubung penangguhan ini, walau bagaimanapun individu berkenaan mendakwa tidak mengetahui mengenai penanguhan itu dan meminta beliau datang ke Mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 07.11.2010. Pada 06.11.2010 peguamnya menerima panggilan telefon dari mahkamah syariah memaklumkan penangguhan keputusan mahkamah berhubung kes ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian atas arahan orang atasan.

Berikutan penanguhan ini peguam beliau meraguai surat yang dikeluarkan oleh Mahkamah pada 04.11.2010 berkenaan. Beliau juga berasa hairan kerana penangguhan dibuat pada tarikh Mahkamah bercuti iaitu 04.11.2010 adalah cuti hari peristiwa di Kelantan dan 06.11.2010 adalah cuti umum. Atas keraguan ini beliau telah membuat laporan polis berkenaan.

No comments: