Monday, October 4, 2010

Raja Muda Perlis Rasmi i-Play Toy Library - 04.10.2010

Semalam 03.10.2010, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuaku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan merasmikan Sudut Perpustakaan Permainan atau lebih dikenali dengan i-Play Toy Library di Perpustakaan Awam cawangan Simpang Empat, Kangar, Perlis. Turut mengiringi baginda adalah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Dalam majlis ini, baginda telah memberi sumbangan ikhlas sebanyak RM6,350.00 beserta 5,180 buah buku baru dan terpakai hasil dari sumbangan masyarakat di Perlis melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada Norma Mohd Darus, Pengarah Jabatan Perpustakaan Negeri Perlis. Dalam titah baginda, baginda menyatakan bahawa perkhidmata ini telah dapat memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk mengunjungi perpustakaan disamping mencadangkan agar perkhidmatan ini diperluaskan lagi dengan memperkenalkannya kepada semua perpustakaan bergerak.

Gambar diambil dari Kosmo


i-Play Toy Library ini telah buat pertama kalinya telah diperkenalkan oleh Yayasan EMKAY pada 2006. Yayasan EMKAY telah ditubuhkan pada 12 Januari 2001 oleh pengasasnya, YBhg Tan Sri Datuk Haji Mustapha Kamal Haji Abu Bakar dan isteri, YBhg Puan Sri Datin Hajah Wan Nong Wan Ibrahim untuk melaksanakan kegiatan amal dengan hasrat membantu mereka yang memerlukan dan kurang bernasib baik terutama mereka yang berada diluar arus pembangunan. Program bantuan yang dilaksanakan terbahagi kepada 6 kategori utama iaitu kesihatan, pendidikan, keagamaan, sukan, bantuan pembangunan kemasyarakatan dan ehsan serta usaha-usaha ke arah peningkatan kesedaran terhadap perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar.

Berbalik kepada i-Play Toy Library atau Perpustakaan Permainan tadi, ianya memang unik dan diwujudkan bertujuan untuk :-

  • Menggalak dan membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran dan perkembangan minda mereka melalui bermain.
  • Menerapkan nilai-nilai murni untuk membentuk generasi baru yang lebih seimbang dan sempurna dari segi emosi, Rohani, intelek dan jasmani.
  • Menjana pembangunan awal kanak-kanak.

Setakat ini terdapat 26 buah i-Play Toy Library diseluruh Negara iaitu diPerak 10, Perlis 4, Selangor 4, Pulau Pinang 2, dan sebuah di setiap negeri seperti, Sabah, Sarawak, Kelantan, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur.

No comments: