Saturday, June 5, 2010

Hari Keputeraan Agong - 05.06.2010

Hari ini merupakan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Walau bagaimanapun anda semua jangan tersilap tafsir kerana hari ini bukan merupakan tarikh keputeraan sebenar baginda. Ianya adalah tarikh Hari Keputeraan bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Baginda diputerakan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, Terengganu oleh bondanya YTM Tengku Besar Terengganu yang merupakan Isteri kedua Al-Marhum Sultan Mahmud.

Tahukah anda bahawa Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan dalam perlembagaan persekutuan yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid. Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan masyarakat terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat lebih mengarah kepada penghapusan Institusi Raja-Raja Melayu. Pada awalnya gelaran yang dicadangkan adalah Yang di-pertuan Besar. Pada Ogos 1957 Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk menentukan Yang di-Pertuan Agong pertama. Mengikut seniority, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar yang memerintah semenjak tahun 1895 sepatutnya dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama. Walau bagaimanapun baginda menolak kerana faktor usia yang mencecah 84 tahun. Ditempat kedua pula, Sultan Pahang, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni AL-Marhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah yang memerintah bermula 1932 tetapi tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Akhirnya keputusan telah dibuat dengan memilih Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad iaitu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang memerintah mulai 1933 untuk menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Pertama.

Diantara raja-raja Melayu yang hadir ketika pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama adalah-

  • Sultan Pahang, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (1932-1974)
  • Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (1938-1942, 1945-1960)
  • Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1943-1958)
  • Al-Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (1944-1960)
  • Raja Perlis, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (1945-2000)
  • Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (1945-1979)
  • Sultan Perak, Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah (1948-1963)
  • Wakil Sultan Johor, Tunku Mahkota Tunku Ismail ibni Sultan Sir Ibrahim (menjadi Sultan 1959-1981)
Yang di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun sekali secara giliran oleh Majlis Raja-Raja berdasarkan ciri-ciri seperti kekanan pemerintahan mereka, hanya Raja-Raja sahaja yang layak dipilih dan yang layak mengundi.

Akhir kata Selamat Menyambut Hari Keputeraan Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia,
Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

............DIRGAHAYU TUANKU PATIK............

No comments: